PSKG 2026-2030 perkasa graduan, selari keperluan industri
KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 dalam usaha memperkukuh ekosistem kebolehpasaran graduan secara menyeluruh dan bersepadu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pelan itu dirangka bagi melahirkan graduan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan alam pekerjaan, memenuhi keperluan pasaran semasa dan masa hadapan serta berdaya saing selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
Beliau berkata, antara pemacu utama pelan itu ialah program peningkatan kemahiran (upskilling) menerusi kerjasama strategik dengan pemain industri bagi memastikan bakat yang dihasilkan memenuhi keperluan khusus sektor pekerjaan.
"Oleh itu, kita menjalankan program Industry in Campus (industri berada di kampus), khususnya yang melibatkan universiti teknikal Malaysia dan universiti lain seperti Universiti Sains Malaysia (USM), universiti penyelidikan serta universiti komprehensif yang lain," katanya.
Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran PSKG 2026-2030 dan Persidangan Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi (PKGKPT) 2026 pada Khamis.
Zambry berkata, pelan yang berpaksikan visi "Graduan Adaptif, Tangkas, Berdaya Tahan Sebagai Pemangkin Negara Berpendapatan Tinggi" itu turut melibatkan kolaborasi rentas kementerian, termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
"Kita sentiasa menyediakan ruang untuk membolehkan sistem yang ada mempunyai keanjalan, merombak (dasar) berdasarkan keperluan pasaran itu sendiri.
"Namun, secara keseluruhannya, perancangan yang telah kita lakukan berjalan baik, cuma dari semasa ke semasa kita perlukan semakan terhadap keperluan pasaran tersebut," katanya.
Mengenai sasaran jumlah pekerjaan baharu, Zambry berkata, penetapan keperluan tenaga kerja harus dibuat berdasarkan persefahaman dan penilaian bersama antara kementerian serta agensi berkaitan bagi mencerminkan kehendak sebenar pasaran.
"Kita tidak membuat penilaian berdasarkan kementerian semata-mata, kita perlu duduk bersama di semua peringkat agensi, Kementerian Ekonomi, MITI dan kementerian-kementerian lain untuk menyasarkan jumlah yang diperlukan," katanya.
Zambry berkata, keperluan tenaga kerja perlu dilihat secara terperinci merangkumi pelbagai tahap kelayakan, bukan hanya tertumpu kepada pemegang ijazah semata-mata.
"Sebagai contoh, dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E), sering dikatakan Malaysia kekurangan hampir 60,000 jurutera. Namun, jika dilihat secara mendalam, keperluan tersebut berkaitan dengan industri berkaitan kejuruteraan.
"Maksudnya, tidak semestinya pada peringkat ijazah, tetapi mungkin diperlukan pada peringkat diploma atau sijil. Seperti di USM (Universiti Sains Malaysia) bagi bidang semikonduktor, mereka memperhalusi keperluan tersebut," katanya.
Mengulas mengenai PKGKPT 2026, Zambry berkata persidangan anjuran bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu menjadi platform strategik nasional bagi membincangkan pelbagai isu seperti ketidakpadanan pekerjaan, gaji permulaan serta pengukuhan kerjasama industri-akademia.
Pada majlis sama, KPT turut menyampaikan Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang menunjukkan prestasi cemerlang dan konsisten sepanjang tempoh lima tahun.
