SEMANGAT kemerdekaan bukan sekadar dizahirkan melalui kibaran Jalur Gemilang dan aktiviti patriotik, sebaliknya turut diterjemahkan menerusi amalan hidup sihat bagi melahirkan warga institusi yang sejahtera dari aspek fizikal, mental dan emosi.

Mesej itu diketengahkan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) menerusi penganjuran Karnival Sihat Merdeka yang menghimpunkan warga dan pelajar PSA bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) serta Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) pada Selasa.

No Image Caption

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSA, Mohd Khairul Mu’adzim Hashim berkata, konsep “Sihat Merdeka” menggabungkan dua elemen utama, iaitu penghayatan semangat kemerdekaan dan pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar serta warga PSA.

- Advertisement / Iklan -

“Merdeka itu bukan sahaja merdeka di dalam hati, tetapi sebenarnya merangkumi keseluruhan kehidupan. Kita mahu memastikan pelajar bukan sahaja menghayati semangat kemerdekaan, tetapi turut menjaga aspek kesihatan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, program yang julung kali dianjurkan pada skala besar itu menyasarkan penyertaan seluruh warga dan pelajar PSA, dengan jumlah keseluruhan peserta termasuk jawatankuasa pelaksana dianggarkan mencecah 2,500 orang.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan apabila sebahagian pelajar hadir seawal jam 7 pagi bagi menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

“Melalui program ini, kita dapat melihat pelajar memberi komitmen terhadap program yang dilaksanakan, selain memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan antara pelajar serta kakitangan PSA,” katanya.

Karnival berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, selaras dengan pelaksanaan BMSS yang menekankan kepentingan menjadikan kesihatan sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan seharian.

Antara pengisian utama yang disediakan ialah Fun Run Merdeka, Senam Sihat, Pertandingan Nyanyian Merdeka, Tarik Tali, pemeriksaan kesihatan dan gigi serta kempen derma darah.

Selain itu, pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut membuka reruai serta menyediakan pengisian berkaitan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kepada warga PSA serta keluarga.

Mohd Khairul Mu’adzim berkata, kejayaan penganjuran sulung pada skala lebih besar itu diharapkan menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih meluas pada masa akan datang.

“Kami harapkan program sebegini tidak berhenti di sini. Pada masa akan datang, kita boleh terus bekerjasama, bukan terhad kepada Pejabat Kesihatan Daerah Petaling sahaja, malah dengan agensi-agensi lain,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Petaling, Dr. Muhammad Haikal Ghazali berkata, penganjuran program berkenaan membawa mesej bahawa kesihatan merupakan tanggungjawab bersama dan perlu dijadikan budaya dalam kehidupan seharian.

“Kesihatan merupakan nikmat yang sangat bernilai. Selagi kita dikurniakan tubuh yang sihat, minda yang cergas dan emosi yang sejahtera, kita mampu belajar dengan baik, bekerja dengan cemerlang, berbakti kepada keluarga serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Daerah Petaling Tahun 2026.

No Image Caption

Beliau berkata, pelaksanaan BMSS bukan sekadar memenuhi takwim program tahunan, sebaliknya menjadi wadah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan.

Menurutnya, pengisian program yang merangkumi pemeriksaan kesihatan, ceramah, pertandingan, aktiviti berkupon dan senaman kesihatan mampu menyampaikan mesej kesihatan dalam suasana yang santai, interaktif dan lebih dekat dengan masyarakat.

“Usaha memupuk masyarakat yang sihat bukanlah tugas Kementerian Kesihatan Malaysia atau Jabatan Kesihatan semata-mata. Ia memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta seluruh anggota masyarakat,” katanya.

Dr. Muhammad Haikal turut menyifatkan kerjasama antara PKD Petaling dan PSA dalam menjayakan program itu sebagai contoh bagaimana agenda kesihatan dapat dilaksanakan secara bersama demi manfaat komuniti.

Beliau berharap kerjasama strategik seumpama itu dapat terus diperkukuh pada masa akan datang bagi memperluas usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, konsep Karnival Sihat Merdeka turut menyokong pemerkasaan 6K, iaitu Kebajikan, Keharmonian, Keberkatan, Kesihatan, Keselamatan dan Kebersihan, selaras dengan Iltizam 6: Pemerkasaan 6K Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Penganjuran karnival itu sekali gus menjadi platform membentuk modal insan yang berjiwa merdeka, bersemangat patriotik serta sejahtera dari aspek mental dan fizikal, di samping menyemai nilai kerjasama, disiplin, perpaduan dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan warga serta pelajar PSA.

Majlis perasmian Karnival Sihat Merdeka telah disempurnakan oleh Dr. Muhammad Haikal Ghazali, diiringi Mohd Khairul Mu’adzim Hashim serta Edawaty Ujang, Ketua Sektor Promosi Kesihatan, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Penganjuran Karnival Sihat Merdeka diharapkan dapat terus menjadi medium menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan warga PSA, di samping membudayakan amalan hidup sihat serta memperkukuh nilai perpaduan dan kesejahteraan bersama.