48 mahasiswa jayakan Green Summer Volunteer Campaign Vietnam 2026
SEBANYAK 48 sukarelawan siswa daripada 41 institusi pendidikan tinggi (IPT) menyertai YSS Students Volunteer Mission: Green Summer Volunteer Campaign Vietnam 2026 yang berlangsung bermula 18 Julai hingga 21 Ogos ini.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memaklumkan pihaknya menerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) meneruskan komitmen memperkasa budaya kesukarelawanan mahasiswa di peringkat antarabangsa menerusi pelaksanaan misi berkenaan.
Misi ini merupakan kesinambungan hubungan strategik antara YSS dan Vietnam yang telah terjalin sejak 2013 melalui penglibatan dalam Green Summer Volunteer Campaign (GSVC), program anjuran Kesatuan Belia Bandar Ho Chi Minh sejak 1994.
"Program ini melibatkan penyertaan lebih 100,000 belia dan sukarelawan universiti setiap tahun bagi melaksanakan pelbagai aktiviti berteraskan kesukarelawanan dan pembangunan komuniti selama sebulan.
"Pada tahun ini, sukarelawan siswa akan dihantar ke tiga lokasi iaitu Kim Long Commune, Phu Loi Ward dan Trung My Tay Ward bagi menjalankan kerja sukarelawan bersama-sama sukarelawan di Vietnam," menurut kenyataan itu.
KPN memaklumkan sukarelawan Malaysia turut berpeluang mendekati komuniti tempatan termasuk komuniti Orang Asli Cho Ro, satu daripada komuniti etnik asal di Vietnam, melalui aktiviti pertukaran budaya dan penglibatan bersama masyarakat setempat.
"Antara projek utama yang telah dikenal pasti sepanjang pelaksanaan misi ini ialah membina rumah persahabatan dan taman belia, melukis mural, pemasangan taman permainan, aktiviti menanam pokok serta pelaksanaan kelas pembelajaran bahasa Inggeris," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata sejak 2013, YSS telah menghantar 562 sukarelawan siswa untuk menyertai misi kesukarelawanan di Ho Chi Minh City.
"Kerjasama berterusan ini mencerminkan peranan YSS dalam memperkukuh hubungan rakyat Malaysia dan Vietnam melalui pendekatan kesukarelawanan serta diplomasi rakyat.
"Semangat kesukarelawanan yang diterapkan dalam kalangan belia melalui program ini bukan sahaja membentuk generasi yang prihatin, berjiwa besar dan bertanggungjawab, malah turut menyokong aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat dan kesejahteraan," katanya.
Beliau berkata misi seperti ini menjadi platform untuk belia menghayati kepelbagaian budaya, mengukuhkan semangat perpaduan serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti di peringkat antarabangsa.
Misi tahun ini turut melibatkan penyertaan 45 sukarelawan antarabangsa yang terdiri daripada 15 orang dari Indonesia serta 30 orang dari Laos dan Kemboja, sekali gus memperkukuh jaringan kesukarelawanan serantau serta semangat pertukaran budaya dalam kalangan belia ASEAN. - Bernama
