KEBAJIKAN penuntut yang kurang berkemampuan akan terus menjadi keutamaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan tinggi, kata Naib Canselornya Profesor Dr Yatimah Alias.

Beliau berkata, pihaknya memberikan komitmen penuh untuk memastikan setiap pelajar memperoleh peluang pendidikan yang setara dan berkualiti di universiti itu.

"Pihak UMPSA akan terus menyediakan bantuan kewangan, sokongan akademik dan pelbagai inisiatif untuk memastikan mereka dapat mengejar impian tanpa sebarang halangan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Yatimah yang meluangkan masa bertemu penuntut baharu semasa proses pendaftaran hari ini, turut menyampaikan Dermasiswa B40, biasiswa khusus kepada mereka daripada keluarga berpendapatan rendah yang mengikuti pengajian Diploma dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Sebanyak 20 penuntut menerima tajaan itu meliputi yuran pengajian dan elaun wang saku bulanan.

- Advertisement / Iklan -

Selain itu, beliau juga menyampaikan Bantuan Awal Insentif Pendidikan sebanyak RM1,000 kepada penuntut yang memerlukan sumbangan Yayasan UMPSA.

Sebanyak 1,045 penuntut baharu program Diploma Sesi Akademik 2026/2027 mendaftar di UMPSA hari ini, iaitu jumlah pendaftaran tertinggi sejak penubuhannya. - Bernama