PELUANG melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi kini lebih terbuka buat anak Negeri Sembilan apabila kerajaan negeri menjalinkan kerjasama strategik dengan Uni Enrol menerusi Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026 yang menawarkan 29 biasiswa bernilai keseluruhan RM1.3 juta.

Inisiatif itu bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, malah memberi bimbingan pendidikan dan laluan kemasukan ke universiti bagi membantu lepasan SPM dan STPM merealisasikan impian menyambung pengajian tinggi.

Majlis pelancaran program disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Turut hadir ialah barisan kepimpinan Uni Enrol, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Yayasan Negeri Sembilan serta universiti yang mengambil bahagian.

Dalam kenyataannya, Aminuddin berkata pendidikan merupakan pelaburan paling bernilai bagi membentuk masa depan negeri dan generasi muda.

- Advertisement / Iklan -

"Melalui kerjasama ini, kami bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, malah memastikan pelajar mendapat bimbingan serta peluang yang diperlukan untuk melanjutkan pengajian tinggi dengan lebih yakin. Semoga inisiatif ini membuka lebih banyak ruang kepada anak Negeri Sembilan merealisasikan cita-cita dan menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa depan."

Program itu menyasarkan penawaran kira-kira 29 biasiswa dengan nilai keseluruhan RM1.3 juta.

- Advertisement / Iklan -

Walaupun mengutamakan pelajar daripada keluarga B40, biasiswa tersebut turut dibuka kepada semua pelajar yang layak termasuk mereka yang cemerlang dalam akademik, sukan atau pernah berdepan cabaran kehidupan.

Inisiatif itu dilaksanakan bertepatan dengan tempoh penting bagi lepasan sekolah yang sedang menunggu keputusan rayuan UPU bagi lepasan SPM serta keputusan UPU untuk lepasan STPM.

Menerusi pendekatan itu, program berkenaan berfungsi sebagai 'Pelan B' yang membolehkan pelajar meneruskan pengajian di peringkat asasi, diploma atau ijazah tanpa perlu menangguhkan cita-cita akibat kekangan kewangan.

Antara institusi pendidikan yang menyokong program itu ialah IMU University, Multimedia University (MMU), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), HELP University, Dasein Academy of Art, Forward College dan First City University College.

Sementara itu, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Uni Enrol, Rickson Khaw berkata, tempoh selepas tamat persekolahan merupakan fasa penting yang memerlukan keputusan pantas daripada pelajar dan ibu bapa.

"Kerjasama ini membantu merapatkan jurang antara kekangan kewangan dengan akses kepada pendidikan berkualiti, khususnya ketika keluarga amat memerlukan sokongan. Kami berharap lebih ramai pelajar mengetahui peluang biasiswa yang sah dan mudah diakses menerusi platform Uni Enrol," katanya.

Selain bantuan kewangan, penerima biasiswa turut menerima khidmat kaunseling pendidikan, padanan institusi pengajian tinggi serta sokongan sepanjang proses permohonan kemasukan ke universiti.

Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan terbuka kepada pelajar yang menduduki peperiksaan SPM atau STPM di sekolah-sekolah di Negeri Sembilan serta lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.