UPM perkasa pertanian mampan
BAGI kebanyakan orang, ladang universiti mungkin hanya dilihat sebagai pusat penyelidikan dan latihan mahasiswa. Namun di Universiti Putra Malaysia (UPM), ladang bukan sekadar menjadi ruang pembelajaran, malah berkembang sebagai platform yang menghubungkan penyelidikan, industri dan masyarakat dalam usaha memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.
Peranan itu digerakkan oleh Pusat Pertanian Putra (PPP), yang terus memperluaskan fungsinya sebagai hab pengajaran, penyelidikan dan pemindahan teknologi pertanian, di samping membuka peluang kepada masyarakat mendekati dunia pertanian menerusi pelbagai program berasaskan komuniti, inovasi dan agro pelancongan.

Pengarah Pusat Pertanian Putra, UPM, Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah Sakimin berkata, PPP bukan sahaja menyediakan kemudahan bagi tujuan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, malah menguruskan keseluruhan operasi ladang universiti untuk aktiviti pertanian, penjanaan pendapatan dan pengembangan ilmu.
Menurut beliau, PPP menguruskan kira-kira 1,500 hektar kawasan ladang yang meliputi Serdang, Puchong dan Bintulu dengan kekuatan lebih 200 kakitangan.
"Bukan sekadar menjadi pusat penyelidikan, PPP turut berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan universiti dengan komuniti melalui pelbagai aktiviti pertanian dan perkongsian ilmu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi inisiatif PPP sempena Bulan Sinergi Putra 2026 yang dianjurkan bagi menyokong Blueprint Keterjaminan Makanan UPM.
Sepanjang program tersebut, pelbagai aktiviti disusun bagi memberi pengalaman secara langsung kepada pengunjung, antaranya Pick On Your Own (POYO @ UPM), aktiviti memancing ikan, program Kearifan Tempatan, demonstrasi kulinari menggunakan hasil ladang serta perkongsian teknologi pertanian.

Menurut beliau, sambutan yang diterima amat memberangsangkan sehingga ramai pengunjung berharap program berkenaan diteruskan pada masa hadapan.
"Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat dari aspek pendidikan dan riadah, malah meningkatkan penghayatan terhadap pertanian serta menghubungkan komuniti dengan penyelidikan yang dijalankan di UPM," katanya.
Lebih menarik, masyarakat turut berpeluang melihat sendiri bagaimana hasil penyelidikan universiti diterjemahkan kepada aplikasi sebenar menerusi konsep living lab, sekali gus membuktikan inovasi yang dibangunkan tidak terhad di makmal semata-mata.
Antara inovasi yang diketengahkan ialah Photosynthesis Enhancer, produk penyelidikan yang membantu meningkatkan aktiviti fotosintesis, sekali gus meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan kos pengeluaran petani.
"Produk seperti ini membuktikan penyelidikan universiti bukan hanya berada di makmal, tetapi mampu memberi impak terus kepada industri dan masyarakat," katanya.

Dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara, beliau mengakui PPP berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim serta kekangan peruntukan kewangan.
Namun, katanya, UPM mengambil pendekatan strategik dengan memperkukuh kerjasama bersama industri bagi membangunkan fasiliti, meningkatkan kepakaran dan menyokong operasi ladang secara lebih mampan.
Beliau berkata, Ladang Bersepadu Puchong dibangunkan sebagai pusat agro pelancongan dan pengeluaran komersial dengan sokongan rakan strategik industri yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam sektor pertanian.
Pada masa sama, ladang tersebut turut menjadi lokasi pelaksanaan program latihan usahawan tani di bawah IPR INTAN, manakala Ladang Serdang memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan mahasiswa.

Dalam masa yang sama Siti Zarahah menambah, UPM mempunyai lebih daripada 20 varieti durian yang ditanam di ladang Serdang dan Puchong.
"Koleksi ini diwujudkan bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan supaya pelajar dapat mengenali pelbagai varieti durian seperti Musang King, IOI dan lain-lain.
"Malah, Jabatan Pertanian juga menjadikan koleksi ini sebagai sumber rujukan bagi mendapatkan baka-baka durian yang sukar ditemui.
"UPM turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pertanian dalam usaha pemeliharaan dan penyelidikan baka durian," jelasnya lagi.
Mengulas masa depan sektor pertanian, Siti Zaharah berkata, generasi muda perlu mengubah persepsi terhadap bidang itu kerana pertanian hari ini berkembang sebagai industri moden yang dipacu teknologi dan menawarkan prospek kerjaya serta keusahawanan yang luas.
"Pertanian hari ini memerlukan penguasaan teknologi seperti IoT, sains data dan kejuruteraan. Anak muda perlu belajar daripada pakar, membina pengalaman dan berani mencipta peluang sendiri kerana sektor makanan akan sentiasa menjadi keperluan utama.
"Tanpa pertanian, tiada kehidupan," katanya.
Program IPR UPM bantu peserta jana pendapatan sehingga RM20,000 semusim
Sementara itu, Ketua Seksyen Ladang Bersepadu Puchong, Aznida Che Alli berkata, Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilaksanakan melalui PPP bukan sahaja memberi latihan pertanian moden kepada golongan tidak bekerja, malah berjaya membantu peserta menjana pendapatan sehingga RM20,000 dalam satu musim tanaman.
"Projek tersebut menerima geran bernilai RM35 juta daripada Kementerian Ekonomi pada tahun 2023/2024.
"Projek itu pada mulanya dijalankan di Serdang sebelum rumah perlindungan tanaman yang siap dibina pada pertengahan tahun lalu mula beroperasi sepenuhnya di lokasi semasa.

Menurutnya, program di bawah Kementerian Ekonomi itu menyediakan latihan intensif selama setahun bagi melahirkan usahawan tani yang mampu berdikari.
Menurutnya, peserta didedahkan dengan teknik penanaman moden menggunakan sistem kotak penanaman (planter box) yang menggunakan sabut kelapa atau tanah selain teknologi hidroponik.
"Peserta bukan sekadar belajar menanam, tetapi dibimbing daripada aspek pengurusan tanaman, pemasaran sehingga menjana pendapatan.
"Matlamat utama ialah melahirkan usahawan tani yang mampu berdikari selepas tamat latihan," katanya.
Katanya, sebanyak 44 rumah penanaman berteknologi Control Environment Structure (CES) disediakan, melibatkan 24 rumah untuk tanaman melon dan 20 lagi bagi tanaman sayur-sayuran.
"Sistem CES yang digunakan merupakan rumah perlindungan hujan berpersekitaran terkawal yang mampu mengurangkan serangan penyakit dan serangga sekali gus meminimumkan penggunaan racun.
"Sistem ini dilengkapi dua lapisan pintu bagi menghalang kemasukan serangga serta cooling pad yang membantu mengawal suhu dan pengudaraan supaya tanaman berada dalam keadaan optimum.
"Setiap rumah penanaman berkeluasan 100 kaki x 60 kaki dan mampu menempatkan keseluruhan 1,848 pokok melon," katanya.
Menurut Aznida, varieti melon yang ditanam dikenali sebagai melon varieti Londo dengan tempoh matang kira-kira 65 hari dari penanaman sehingga penuaian.
"Setiap pokok mampu menghasilkan antara satu hingga dua biji buah bergantung kepada pengurusan tanaman.

"Selain melon, kami turut menanam sayur-sayuran seperti sawi, kangkung dan bayam," katanya.
Beliau berkata, program itu pada awalnya menerima 36 peserta, namun sebahagian menarik diri dan sehingga kini seramai 20 peserta berjaya mengikuti latihan.
Sepanjang enam bulan pertama, peserta menerima elaun insentif RM500 sebulan sebelum mereka perlu menunjukkan komitmen penuh terhadap projek penanaman.
"Hasil jualan tanaman adalah milik peserta. UPM menyediakan keperluan seperti baja dan benih menggunakan geran yang diterima, sekali gus mengurangkan kos permulaan mereka.
"Ada peserta berjaya memperoleh pendapatan sehingga RM20,000 bagi satu musim tanaman, manakala kebanyakan peserta lain memperoleh antara RM10,000 hingga RM15,000 semusim," katanya.
Dalam memastikan kejayaan program, Aznida berkata, pemantauan berterusan dilakukan terhadap setiap peserta.
Katanya, amaran akan diberikan kepada peserta yang gagal mematuhi jadual kerja atau tidak menunjukkan komitmen, dan mereka yang masih gagal selepas diberi peluang tidak dibenarkan menyertai semula program tersebut.
Dari aspek pemasaran, UPM turut membantu memasarkan hasil tanaman melalui pusat pemasarannya, namun peserta digalakkan mencari pasaran sendiri bagi meningkatkan kemahiran keusahawanan.
"Harga jualan melon di UPM ialah sekitar RM15 sekilogram, namun jika peserta berjaya mendapatkan pasaran sendiri atau menyertai acara jualan, mereka boleh memperoleh harga yang lebih tinggi," katanya.
Secara keseluruhannya, inisiatif yang digerakkan Pusat Pertanian Putra membuktikan bahawa ladang universiti bukan sekadar pusat pengajaran dan penyelidikan, malah menjadi platform membangunkan usahawan, memindahkan teknologi serta memperkasa komuniti.
Melalui gabungan inovasi, latihan dan kerjasama strategik, UPM terus menyokong agenda keterjaminan makanan negara sambil membuktikan bahawa pertanian moden mampu menjadi bidang yang berdaya maju dan menjana pendapatan.
