UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) memperkasakan program pembangunan keusahawanan sebagai usaha membantu dan memastikan kebajikan penuntut yang terdiri daripada golongan asnaf terpelihara.

Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Dr Arham Abdullah berkata, pendekatan itu turut dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan rakan industri serta syarikat korporat.

"Antara inisiatif dilaksanakan ialah program bekerja sambil belajar yang bukan sahaja membolehkan penuntut memperoleh pendapatan tambahan, malah memberi pendedahan kepada pengalaman bekerja sebelum mereka tamat pengajian," katanya.

Arham berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kafe Nusukopi sempena Program Pemerkasaan Usahawan Asnaf Maybank Islamic Bhd x UMK pada Ahad.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, kafe itu antara inisiatif terbaharu yang dilaksanakan dengan menggunakan sumbangan zakat Maybank Islamic Bhd bernilai RM277,000 melibatkan 20 penuntut asnaf terpilih untuk belajar sambil bekerja bagi melahirkan usahawan dari peringkat universiti.

No Image Caption

- Advertisement / Iklan -

Arham memaklumkan hampir 10,000 penuntut universiti itu yang sedang mengikuti pengajian di tiga kampus, iaitu Pengkalan Chepa, Jeli dan Bachok ialah golongan asnaf.

Selain itu, beliau berkata, UMK menyasarkan antara 10 hingga 15 peratus lulusan universiti itu menjadi usahawan pada setiap konvokesyen hasil pendedahan kepada bidang keusahawanan yang diterapkan dari tahun pertama pengajian.

Beliau berkata, setiap konvokesyen menyaksikan kira-kira 3,000 penuntut menamatkan pengajian, menjadikan kira-kira 300 daripada mereka disasarkan menubuhkan perniagaan atau syarikat sendiri.

Bagi menyokong hasrat itu, Arham berkata, UMK menyediakan pembiayaan tanpa faedah antara RM3,000 hingga RM5,000 kepada penuntut yang ingin memulakan perniagaan ketika masih mengikuti pengajian, dengan bayaran balik hanya dibuat sebelum mereka menamatkan pengajian.

Beliau berkata, pada tahun lepas, 11 peratus daripada lulusan universiti itu berjaya memiliki syarikat sendiri sebelum menamatkan pengajian. - Bernama