SEBUAH rumah tradisional Selangor yang berusia lebih satu abad bakal diberi nafas baharu di Universiti Putra Malaysia (UPM), bukan sekadar sebagai bahan pameran, tetapi sebagai ruang pembelajaran yang menghubungkan generasi muda dengan sejarah, budaya dan identiti bangsa.

Rumah Bumbung Panjang Selangor yang diinspirasikan daripada seni bina warisan di Sabak Bernam itu akan dibangunkan di Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM menerusi kerjasama strategik bersama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Inisiatif tersebut menjadi satu langkah penting dalam memartabatkan warisan Melayu sebagai sumber ilmu yang boleh diterokai oleh pelajar, penyelidik dan masyarakat, selaras dengan peranan universiti sebagai pusat pembangunan ilmu serta pemeliharaan khazanah negara.

Rumah tradisional itu dibangunkan berdasarkan rujukan sebuah Rumah Bugis Bumbung Panjang di Lot 5318, Batu 1, Kampung Sepintas, Sabak Bernam milik Haji Zainal Abidin Mohamad yang dianggarkan dibina sekitar tahun 1890.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Warisan bersejarah itu kini bakal dihidupkan semula sebagai rujukan budaya yang membolehkan generasi baharu memahami seni bina, falsafah hidup, nilai kemasyarakatan serta kebijaksanaan masyarakat Melayu terdahulu.

- Advertisement / Iklan -

Pembinaan rumah berkenaan turut memenuhi hasrat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang juga Tuanku Canselor UPM agar Muzium Warisan Melayu terus diperkasakan sebagai pusat rujukan ilmu serta dilengkapi dengan rumah tradisional Selangor bagi melengkapkan koleksi warisan Melayu di muzium itu.

Ketika ini, Muzium Warisan Melayu UPM menempatkan empat rumah tradisional iaitu Rumah Negeri Sembilan, Rumah Pahang, Rumah Perak dan Rumah Terengganu.

Kehadiran Rumah Bumbung Panjang Selangor dijangka memperkayakan lagi koleksi tersebut sekali gus membuka ruang penyelidikan yang lebih luas merangkumi seni bina, sejarah, bahasa, budaya, komunikasi, pelancongan warisan dan pengajian Melayu.

Bagi merealisasikan projek itu, PNSB menyalurkan sumbangan sebanyak RM250,000 sebagai kos pembinaan rumah tradisional tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, sumbangan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memelihara warisan negeri di samping menyokong pembangunan modal insan.

"Melalui sumbangan ini, kita bukan sahaja membina sebuah struktur fizikal, malah menyediakan ruang ilmu yang mencerminkan kebijaksanaan, falsafah dan ketinggian tamadun bangsa.

"Pembinaan rumah ini hanyalah permulaan. Tanggungjawab yang lebih besar ialah memastikan pengisian program dan pemanfaatan ilmunya dapat dilaksanakan secara berterusan," katanya.

No Image Caption

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, projek berkenaan membuktikan universiti bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti, malah berperanan memelihara memori bangsa untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

"Rumah tradisional bukan sekadar binaan kayu. Di sebaliknya tersimpan falsafah hidup, teknologi tempatan, seni pertukangan dan kebijaksanaan masyarakat Melayu.

"Apabila rumah ini dibangunkan di UPM, ia akan menjadi makmal pembelajaran dan kelas terbuka yang membolehkan pelajar, penyelidik serta masyarakat memahami asal usul dan nilai warisan mereka," katanya.

Dari sudut seni bina, Rumah Bumbung Panjang Selangor menampilkan pelbagai keunikan termasuk loteng, beranda berbumbung perabung panjang, tebar layar berlapis, ukiran tebuk tembus bercorak organik dan geometri, daun tingkap boleh laras serta cucur atap bermotif lebah tergantung.

Semua elemen itu bukan sahaja menyerlahkan nilai estetika, malah menjadi sumber kajian mengenai falsafah seni bina Melayu, kemahiran pertukangan tradisional dan kearifan tempatan.

Projek tersebut turut melalui proses penyelidikan dan pemurnian bersama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, termasuk lawatan lapangan ke Sabak Bernam bagi memastikan reka bentuk rumah yang dibina benar-benar mengekalkan identiti asal warisan Selangor.

Apabila siap kelak, Rumah Bumbung Panjang Selangor bukan sahaja menjadi koleksi tetap Muzium Warisan Melayu UPM, malah akan dimanfaatkan sebagai lokasi pendidikan warisan, penyelidikan, program komuniti, aktiviti kebudayaan dan edu-tourism yang turut membuka peluang kepada pelajar antarabangsa mengenali keunikan budaya Melayu.

Kerjasama UPM dan PNSB turut membuktikan sinergi antara institusi pendidikan tinggi dan syarikat berkaitan kerajaan negeri mampu memperkukuhkan usaha pemuliharaan warisan, sekali gus memastikan khazanah bangsa terus hidup sebagai sumber ilmu untuk generasi masa depan.