UPNM perkasa pembelajaran digital melalui hab kreatif
UNIVERSITI Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini melancarkan Hab Kreatif yang merangkumi dua studio baharu, iaitu Studio Digital (Studio Green Screen) dan Maker Space bagi memperkasa kemudahan pembelajaran digital universiti berkenaan.
Kenyataan UPNM pada Khamis memaklumkan bahawa projek bernilai RM1.9 juta itu dilaksanakan melalui peruntukan Rolling Plan Ke-5 (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sekali gus memulakan fasa baharu pemodenan akademik universiti berkenaan dan merangsang pemikiran kritis dalam kalangan warganya.
Menurut kenyataan itu, fasiliti Studio Digital bakal berfungsi sebagai pusat penghasilan video profesional, rakaman multimedia, dokumentari dan kandungan pembelajaran digital interaktif manakala ruang kolaboratif Maker Space menyediakan persekitaran kreatif bagi merangsang inovasi berteraskan aspirasi pendidikan abad ke-21.
Sementara itu, Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad berkata, pelancaran Hab Kreatif berlangsung serentak dengan perasmian Galeri Jeneral Tun Ibrahim di Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim universiti berkenaan bagi memastikan elemen sejarah ketenteraan dan pemodenan bergerak seiring.
"Melalui peruntukan RMK12, RP5 berjumlah RM1.9 juta, perpustakaan ini telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif pemerkasaan infrastruktur dan pendigitalan pembelajaran.
"Antaranya ialah projek menaik taraf makmal komputer serta pembinaan dua kemudahan baharu, iaitu Studio Green Screen dan Maker Space yang juga dinamakan Hab Kreatif," katanya.
Menurut kenyataan sama, pelaksanaan dwiinisiatif itu menyaksikan integrasi unik antara pemeliharaan khazanah sejarah ketenteraan negara dengan pemerkasaan teknologi pendidikan masa hadapan.
Kenyataan itu turut memaklumkan Galeri Jeneral Tun Ibrahim dinaik taraf hasil dana sumbangan keluarga Allahyarham Tun Ibrahim berjumlah RM100,000 bagi memelihara warisan intelektual mantan Ketua Turus Angkatan Tentera itu, yang juga penerima pertama Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengajian Strategik), sempena Istiadat Konvokesyen Pertama UPNM pada 2010.
Menurut UPNM, dana itu turut menggerakkan Projek Pembikinan Video Dokumentari khas bagi memelihara warisan intelektual Allahyarham di galeri yang menghimpunkan koleksi peribadi berharga sumbangan keluarganya termasuk naskhah buku, pingat kebesaran dan foto sejarah sebagai sumber rujukan utama untuk memahami sejarah kepimpinan ketenteraan tanah air.
Dalam pada itu, Arman Rumaizi berharap galeri itu dapat menghidupkan semangat perjuangan Allahyarham serta menyemai nilai kepimpinan, patriotisme dan pengabdian kepada negara dalam kalangan warga UPNM khususnya pegawai kadet.
UPNM turut memaklumkan keterlibatan strategik itu mencerminkan komitmen universiti berkenaan dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang menghubungkan institusi, industri dan komuniti sejajar aspirasi Pelan Strategik UPNM30. - Bernama
