UTeM pecah rekod, catat nama dalam Malaysia Book of Records
KOMITMEN terhadap kelestarian bukan sekadar slogan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), sebaliknya diterjemahkan melalui pencapaian yang kini diiktiraf di peringkat kebangsaan.
Universiti itu melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Most Sustainable Energy Management Practices Awards by a Higher Education Institution, sekali gus mengiktiraf UTeM sebagai institusi pengajian tinggi paling cemerlang dalam pengurusan tenaga lestari di negara ini.
Pengiktirafan berprestij itu turut meletakkan UTeM sebagai institusi yang paling konsisten meraih anugerah berkaitan pengurusan tenaga lestari di peringkat kebangsaan dan Asia Tenggara, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai peneraju inovasi teknologi hijau dan pembangunan mampan.
Sijil pengiktirafan MBOR disampaikan kepada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, dengan disaksikan Tun Canselor UTeM, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam, pada Majlis Malam Gala Apresiasi UTeM Bersama Tun Canselor baru-baru ini.
Massila berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar menambah satu lagi rekod kebangsaan buat universiti, malah menjadi bukti budaya kecemerlangan, inovasi dan kelestarian yang diterapkan di UTeM terus membuahkan hasil.
"Pengiktirafan Malaysia Book of Records ini merupakan manifestasi komitmen seluruh warga UTeM yang sentiasa bekerja sebagai satu pasukan dalam menjayakan agenda pengurusan tenaga lestari.
"Pencapaian ini membuktikan bahawa UTeM berjaya menterjemahkan kecemerlangan yang memberi impak kepada negara, masyarakat dan pembangunan teknologi hijau di rantau ini," katanya.
Beliau berkata, pengiktirafan itu adalah hasil kejayaan UTeM mengumpulkan lima anugerah utama sepanjang tempoh 2021 hingga 2024 menerusi National Energy Awards (NEA) dan ASEAN Energy Awards (AEA).
Pada 2021, UTeM mencipta kejayaan berganda apabila memenangi kategori Energy Management in Large Building dan Special Award for Institute of Higher Learning pada NEA sebelum mengharumkan nama Malaysia menerusi kemenangan kategori Energy Management in Large Building di ASEAN Energy Awards yang berlangsung di Brunei.
Kecemerlangan itu diteruskan pada 2024 apabila UTeM sekali lagi muncul juara kategori Energy Management in Large Building di NEA, sekali gus menjadi satu-satunya institusi pengajian tinggi di Malaysia yang berjaya memenangi kategori tersebut sebanyak dua kali.
Pencapaian itu disusuli kejayaan di pentas serantau apabila universiti berkenaan meraih Energy Management Award for Buildings & Industry pada ASEAN Energy Awards 2024 di Vientiane, Laos.
Kejayaan tersebut dipacu oleh Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEi) yang menerajui pelaksanaan sistem pengurusan tenaga lestari universiti melalui penggunaan ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS), sistem pemantauan tenaga berasaskan Internet of Things (IoT), pengoptimuman Building Management System (BMS) serta pembangunan matriks pengurusan tenaga dalaman MaPTeP.
Menurut Massila, kejayaan itu membuktikan keupayaan UTeM menterjemahkan penyelidikan, inovasi dan kepakaran akademik kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada negara dalam memperkukuh agenda pembangunan mampan serta peralihan tenaga.
"Pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk UTeM terus melahirkan lebih banyak inovasi, memperkukuh budaya kelestarian dan memperluaskan jaringan kerjasama strategik di peringkat nasional serta antarabangsa.
"Kami akan terus memperkasakan agenda kampus rendah karbon dan teknologi hijau agar UTeM kekal menjadi universiti teknikal pilihan serta institusi rujukan dalam pengurusan tenaga lestari di Malaysia dan Asia Tenggara," katanya.
