SERAMAI 32 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) dan 75 pelajar antarabangsa dari Indonesia dan Sudan berkampung di Kampung Teluk Kandis pada 16 Mei lalu sempena ‘International Student Mobility Programme’ 2026 (ISEP26) anjuran Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dengan kerjasama Inapan Siswa (Inasis) MAS.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SMMTC UUM, Dr Mohd Zuwairi Mat Saad berkata, pelbagai aktiviti menarik dijalankan antaranya program anak angkat ‘Living with Locals’, malam perkongsian kebudayaan, gotong-royong membersihkan Masjid al-Umawi Kampung Teluk Kandis, penanaman pokok serta sesi ramah mesra bersama penduduk.

Menurut pensyarah bidang komunikasi itu, kegiatan sebegini bukan sahaja memberi pengalaman baharu buat peserta antarabangsa, malah menjadi platform pertukaran budaya dan nilai kemasyarakatan antara peserta serta komuniti setempat.

“Sejak diperkenalkan pada 2024, ISEP terus menunjukkan perkembangan positif dengan penyertaan sekitar 30 peserta pada edisi pertama dan kedua, sebelum mencatatkan peningkatan ketara tahun ini.

- Advertisement / Iklan -

“Program ini juga dilihat selari dengan usaha UUM dalam memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan universiti serta memperluaskan jaringan kerjasama akademik di peringkat ASEAN,” katanya dalam kenyataan.

No Image Caption

- Advertisement / Iklan -

Majlis perasmian penutup program ‘Living with Locals’ disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Program tersebut yang berlangsung selama dua hari menghimpunkan peserta daripada tujuh institusi pengajian tinggi antarabangsa iaitu Universitas Hasanuddin, Universitas Pancasila, Politeknik Tempo, Universitas Muhammadiyah Cirebon (UMC), STITNU Sakinah Dharmasraya, Universitas Muhammadiyah Riau (UMRI) dan Universitas Mataram (UNRAM).

Konsepnya menfokuskan tentang merasai pengalaman kehidupan masyarakat tempatan melalui program anak angkat, di samping memperkukuhkan hubungan budaya dan komuniti.

Salah seorang peserta, Alham Dudistira berpandangan, program tersebut membuka peluang kepada pelajar antarabangsa untuk memahami budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia dengan lebih dekat.

Jelasnya, pengalaman tinggal bersama keluarga angkat di samping menyertai aktiviti komuniti memberikan kenangan yang sangat bermakna di luar negara dan sukar diperoleh di dalam bilik kuliah.

“Program ini membantu kami memahami budaya tempatan, cara komunikasi masyarakat dan semangat kekeluargaan yang diamalkan di Malaysia.

“Ia juga mampu mengeratkan hubungan antara pelajar antarabangsa dan komuniti setempat,” ujarnya lagi.

ISEP26 berlangsung selama dua minggu dan peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk ‘UUM Learning Experience’, ‘Cultural Night’, ‘Kedah Cultural Tour’, ‘Sintok Edu-Tourism’ serta pertandingan ‘pitching’ bertemakan ‘Sustainable Communication Strategies x SDGs’ bermula 9 hingga 22 Mei lepas.

Melalui pendekatan 1:1 bersama pelajar tempatan UUM sebagai rakan, peserta antarabangsa turut diberi peluang merasai pengalaman kehidupan kampus dan budaya masyarakat tempatan secara lebih dekat.