HASRAT menyambung pengajian ke peringkat ijazah kini lebih mudah direalisasikan apabila Universiti Sains Malaysia (USM) membuka permohonan kemasukan ke Program Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) sepanjang tahun.

Menerusi Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), orang ramai boleh mengemukakan permohonan pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu sesi pengambilan tertentu.

RPJJ USM menawarkan sembilan program ijazah sarjana muda meliputi bidang sains, sains kemasyarakatan dan pengurusan, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada individu yang ingin meningkatkan kelayakan akademik sambil meneruskan kerjaya.

Antara program yang ditawarkan ialah Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi), Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik), Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Sains Politik), Antropologi dan Sosiologi, Ekonomi, Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah), serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Kewangan, Pemasaran dan Strategi serta Pengurusan Organisasi.

- Advertisement / Iklan -

Menurut alumni RPJJ USM, Atiqah Mutaza, sistem pembelajaran yang fleksibel membolehkannya menyeimbangkan tanggungjawab sebagai individu bekerja tanpa perlu mengorbankan komitmen terhadap keluarga.

No Image Caption

- Advertisement / Iklan -

"Sistem pembelajaran RPJJ USM membolehkan kami belajar tanpa perlu meninggalkan pekerjaan dan keluarga, sekali gus merealisasikan impian untuk memiliki segulung ijazah.

"USM merupakan sebuah institusi yang dinamik dan kami berbangga menjadi sebahagian daripada alumninya. Dengan komitmen kakitangan serta bimbingan pensyarah, USM berjaya menetapkan piawaian tinggi dalam pelaksanaan pembelajaran terbuka dan jarak jauh.

"Mod pembelajaran ini sangat sesuai untuk golongan dewasa yang bekerja kerana USM memahami keperluan dan kekangan yang kami hadapi," katanya.

Atiqah merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dan penerima Hadiah Pingat Emas USM.

Selain menawarkan kaedah pembelajaran yang fleksibel, RPJJ USM turut menyediakan yuran pengajian yang kompetitif bagi membantu lebih ramai individu menyambung pengajian tanpa dibebani kekangan kewangan.

Walaupun mengikuti pengajian secara jarak jauh, pelajar tetap menikmati pengalaman pembelajaran yang setara dengan pelajar sepenuh masa melalui penggunaan teknologi terkini, inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta pelbagai kemudahan sokongan yang disediakan universiti.

Sebagai universiti penyelidikan terkemuka, USM turut menekankan agenda kelestarian dalam proses pembelajaran, sekali gus memberi peluang kepada pelajar RPJJ merasai pengalaman menuntut di institusi yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.