WAWANCARA KHAS: ‘Tiada seorang pun mahasiswa akan tercicir’
MENGEMUDI hal ehwal kira-kira hampir 180,000 mahasiswa di seluruh sistem Universiti Teknologi MARA (UiTM) bukanlah tugas yang mudah. Dalam tempoh hampir lima tahun kebelakangan ini, pelbagai cabaran perlu dihadapi termasuk pandemik Covid-19, peningkatan kos sara hidup, isu kesihatan mental, perkembangan teknologi digital serta perubahan landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik.
Di sebalik cabaran tersebut, pelbagai inisiatif dan transformasi telah dilaksanakan Bahagian Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM bagi memastikan kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan holistik mahasiswa terus menjadi keutamaan. Bermula daripada pelaksanaan program Dapur HEP yang kemudiannya berkembang menjadi Dapur Siswa MADANI di peringkat nasional, sehinggalah kepada agenda memperkasakan keusahawanan dan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan mahasiswa, UiTM terus berusaha melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berdaya tahan dan relevan dengan keperluan masa depan.
Ikuti wawancara eksklusif Sinar Varsity bersama Mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM 2021-2026, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, yang berkongsi pengalaman mengurus pelbagai cabaran mahasiswa sepanjang tempoh perkhidmatannya.

SOALAN: Sepanjang hampir lima tahun menerajui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), apakah cabaran terbesar yang dihadapi dalam mengurus kebajikan dan pembangunan mahasiswa UiTM?
MOHD SAZILI: Apabila bercakap mengenai peranan HEP, kami amat menitikberatkan aspek kebajikan dan pembangunan mahasiswa. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kami berdepan dengan pelbagai cabaran dan fasa perubahan yang memberi kesan besar kepada pengurusan pelajar.
Antara cabaran paling besar ialah ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 pada tahun 2021 dan 2022. Ketika itu, pergerakan pelajar amat terhad dan kampus berada dalam keadaan hampir kosong. Walaupun pelajar tidak berada di kampus, tanggungjawab universiti terhadap mereka tetap berterusan.
Apa sahaja yang berlaku kepada mahasiswa, walaupun mereka berada di rumah, masih menjadi tanggungjawab universiti selagi mereka berstatus pelajar UiTM. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pelajar berdepan tekanan emosi, cabaran pembelajaran dan pelbagai kesukaran lain akibat perubahan mendadak dalam kaedah pembelajaran.
Sebagai pentadbir, kami perlu memastikan kebajikan mereka terus terpelihara walaupun tidak dapat berjumpa secara bersemuka. Ini merupakan satu pengalaman yang sangat mencabar kerana kami terpaksa mengurus pelajar dalam suasana yang serba digital dan dari jarak jauh.
Selain pandemik, apakah cabaran lain yang dihadapi oleh HEP dalam era digital masa kini?
Cabaran yang semakin ketara pada hari ini ialah pengaruh media sosial. Media sosial memainkan peranan yang besar dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap universiti dan mahasiswa.
Kadangkala sesuatu isu menjadi tular sebelum maklumat sebenar dapat disahkan. Dalam keadaan seperti ini, kami perlu mengurus persepsi dan naratif yang terbentuk dengan sebaik mungkin.
Alhamdulillah, dengan kerjasama pihak media, mahasiswa dan warga universiti, kebanyakan isu dapat ditangani dengan baik. Berdasarkan pengalaman kami, banyak isu yang timbul sebenarnya berpunca daripada salah faham atau jurang komunikasi antara universiti, pelajar dan masyarakat.
Sebab itu, aspek komunikasi amat penting. Walaupun sesuatu dasar atau inisiatif dilaksanakan dengan tujuan yang baik, cara penyampaian dan pelaksanaannya perlu dilakukan secara jelas dan berhati-hati agar semua pihak memahami objektif sebenar.
Sepanjang tempoh berkhidmat, apakah pencapaian yang paling memberi impak kepada pembangunan holistik mahasiswa UiTM?
Antara pencapaian yang paling membanggakan ialah pelaksanaan Transformasi Mahasiswa UiTM atau TAMU.
Melalui inisiatif ini, pelbagai program utama telah diperkenalkan bagi memperkukuhkan pembangunan mahasiswa dari pelbagai aspek, termasuk sahsiah, kepimpinan, kebajikan dan keusahawanan.
Salah satu program yang berjaya dilaksanakan ialah Modul Usaha Taqwa Mulia (UTAMA) yang dibangunkan khusus untuk membantu memperkukuhkan pembangunan jati diri, kepimpinan dan nilai-nilai murni dalam kalangan mahasiswa.
Kami melihat pembangunan sahsiah sebagai asas penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, tetapi juga mempunyai karakter dan integriti yang tinggi.

Selain pembangunan sahsiah, apakah inisiatif lain yang diperkenalkan untuk menjaga kebajikan mahasiswa?
Dalam aspek kebajikan, antara inisiatif yang paling signifikan ialah pelaksanaan Dapur HEP.
Inisiatif ini diwujudkan bagi memastikan tiada mahasiswa yang berdepan masalah mendapatkan makanan ketika berada di kampus. Melalui kemudahan yang disediakan, pelajar boleh menyediakan makanan sendiri dengan kos yang lebih rendah.
Alhamdulillah, konsep ini kemudiannya berkembang dan menjadi antara asas kepada pelaksanaan program Dapur Siswa MADANI di peringkat nasional. Kami berasa sangat gembira apabila usaha yang bermula di UiTM akhirnya memberi manfaat yang lebih luas kepada mahasiswa di seluruh negara.
Selain itu, kami turut melaksanakan Program Wadah TAMU (Transformasi Mahasiswa UiTM) yang bertujuan menyemai nilai-nilai positif, moral dan akhlak dalam kalangan pelajar. Program ini melibatkan penyertaan mahasiswa dari kolej-kolej kediaman di seluruh kampus.
Kami juga memperkenalkan Program Pit Stop di fakulti-fakulti sebagai usaha membantu pelajar mendapatkan makanan pada harga yang berpatutan atau secara percuma bagi mereka yang memerlukan.
Di samping itu, Tabung Kasih Siswa (TKS) diwujudkan bagi membantu mahasiswa yang berdepan kesulitan kewangan atau memerlukan bantuan kecemasan.
Secara keseluruhannya, kejayaan terbesar yang kami lihat ialah pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Transformasi Mahasiswa UiTM yang memberi manfaat secara langsung kepada pembangunan dan kesejahteraan mahasiswa.
Bagaimanakah HEP mengukur kejayaan dalam menangani isu kebajikan mahasiswa sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini?
Sepanjang tempoh tersebut, kami sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap skim dan inisiatif kebajikan yang sedia ada. Dari segi jumlah bantuan, terdapat beberapa penambahan yang dibuat mengikut keperluan semasa mahasiswa.
Secara keseluruhannya, saya boleh katakan bahawa pihak universiti telah berusaha membantu pelajar sebaik mungkin. Ukuran kejayaan bukan hanya dilihat melalui jumlah bantuan yang disalurkan, tetapi juga berdasarkan maklum balas yang diterima daripada mahasiswa.
Setakat ini, jumlah aduan berkaitan kegagalan mendapatkan bantuan atau masalah kebajikan yang tidak ditangani adalah pada tahap yang minimum. Kebanyakan isu yang dibangkitkan berjaya diselesaikan melalui saluran yang disediakan oleh universiti.
Apakah bentuk bantuan kebajikan yang disediakan kepada mahasiswa UiTM?
Universiti menyediakan pelbagai bentuk bantuan kebajikan bagi memastikan kesejahteraan mahasiswa sentiasa terpelihara.
Antaranya ialah bantuan zakat, Tabung Kasih Siswa, bantuan kecemasan, bantuan makanan serta pelbagai bentuk bantuan kewangan lain yang disalurkan mengikut keperluan dan kelayakan pelajar.
Bagi bantuan zakat, permohonan yang diterima akan dibincangkan dan diproses secara berkala melalui mesyuarat yang diadakan setiap bulan. Bantuan ini melibatkan pelbagai keperluan termasuk pembiayaan pendidikan dan kos sara hidup mahasiswa.
Selain itu, universiti turut menyediakan Menu Kasih Siswa (MKS) dan pelbagai inisiatif berkaitan makanan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup pelajar.
Apa yang penting ialah memastikan semua bentuk bantuan ini sampai kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.
Keutamaan bantuan sememangnya diberikan kepada pelajar dalam kategori B40. Namun begitu, ini tidak bermakna pelajar yang berada di luar kategori tersebut tidak boleh mendapatkan bantuan.
Sekiranya mereka benar-benar menghadapi kesukaran kewangan, pihak universiti akan mempertimbangkan permohonan mereka berdasarkan situasi sebenar yang dihadapi.
Sebagai contoh, terdapat pelajar yang bukan daripada keluarga B40 tetapi berdepan masalah kewangan tertentu yang menyebabkan mereka sukar meneruskan pengajian atau menampung kos perjalanan ke kampus. Dalam keadaan seperti itu, universiti tetap akan memberikan bantuan yang sewajarnya.
Apa yang penting ialah keperluan sebenar pelajar, bukannya semata-mata kategori pendapatan keluarga.
Alhamdulillah, setakat ini kami mempunyai pelbagai sumber bantuan yang boleh dimanfaatkan bagi membantu pelajar.
Selain zakat, terdapat juga dana wakaf, tabung kebajikan pelajar dan sumbangan daripada pelbagai pihak dan Yayasan Perkasa Siswa yang digunakan untuk tujuan membantu mahasiswa.
Apa yang lebih penting ialah pelajar perlu mengetahui saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan. Sebab itu pihak universiti sentiasa berusaha memperluaskan hebahan maklumat melalui media, media sosial dan pelbagai platform komunikasi yang lain.
Kami mahu memastikan setiap mahasiswa mengetahui ke mana mereka perlu merujuk sekiranya menghadapi masalah kewangan atau kebajikan.

Isu kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa semakin mendapat perhatian. Apakah pendekatan yang diambil oleh UiTM untuk menangani perkara ini?
Kesihatan mental merupakan antara aspek yang sentiasa diberi perhatian oleh pihak universiti. Kami sedar bahawa mahasiswa hari ini berdepan pelbagai cabaran, sama ada berkaitan akademik, kewangan, keluarga mahupun tekanan kehidupan semasa.
Bagi memastikan isu ini ditangani secara menyeluruh, Pusat Psikologi & Kaunseling dan Pusat Kesihatan UiTM sentiasa bekerjasama dalam merancang serta melaksanakan pelbagai program intervensi dan sokongan kepada mahasiswa.
Sejak awal kemasukan ke universiti, pelajar didedahkan dengan modul dan program berkaitan kesejahteraan diri, pengurusan emosi serta kesedaran mengenai kesihatan mental. Malah, turut diadakan program saringan kesihatan mental semasa minggu orientasi. Program-program ini bertujuan memberikan pengetahuan asas kepada mahasiswa tentang cara mengenal pasti dan mengurus tekanan yang mungkin dihadapi sepanjang tempoh pengajian.
Di dalam inisiatif pembangunan pelajar seperti Modul UTAMA, Kami mempunyai beberapa modul yang perlu diikuti oleh mahasiswa sebagai sebahagian daripada usaha membina kesedaran mengenai kesejahteraan mental dan pembangunan diri.
Mahasiswa perlu mengikuti modul yang disediakan secara dalam talian dan melengkapkannya sehingga tamat. Melalui modul ini, mereka didedahkan kepada pelbagai aspek penting termasuk pengurusan tekanan, keseimbangan emosi, kemahiran menyelesaikan masalah serta cara mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
Pendekatan ini penting kerana kami mahu mahasiswa mempunyai pengetahuan asas yang mencukupi untuk berdepan cabaran kehidupan kampus dan alam dewasa.
Bagaimana pula program pembangunan sahsiah yang dilaksanakan oleh universiti membantu dalam aspek kesihatan mental?
Program pembangunan sahsiah yang dilaksanakan di bawah Transformasi Mahasiswa UiTM turut merangkumi elemen kesejahteraan mental.
Sebagai contoh, Modul Usaha Taqwa Mulia (UTAMA) bukan sahaja memberi penekanan kepada pembangunan akhlak dan jati diri, malah turut membantu mahasiswa memahami cara mengurus tekanan, meningkatkan daya tahan diri serta membina kekuatan dalaman ketika berdepan cabaran.
Kami percaya kesejahteraan mental tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan sahsiah dan nilai diri. Apabila seseorang mahasiswa mempunyai pegangan nilai yang kukuh, mereka lebih bersedia menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Universiti menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada mahasiswa yang memerlukan bantuan.
Antaranya ialah perkhidmatan kaunseling yang boleh diakses oleh pelajar secara bersemuka atau dalam talian Counseling2u. Kaunselor yang bertauliah sentiasa bersedia membantu mahasiswa yang berdepan tekanan emosi, masalah peribadi, konflik keluarga, kebimbangan akademik atau isu-isu lain yang boleh menjejaskan kesejahteraan mereka.
Selain itu, pelbagai program kesedaran dan sokongan psikososial turut dilaksanakan secara berkala bagi memastikan mahasiswa sentiasa mendapat akses kepada bantuan yang diperlukan.
Pendekatan kami bukan sekadar menangani masalah apabila ia berlaku, tetapi juga memberi tumpuan kepada aspek pencegahan dan pendidikan supaya mahasiswa lebih bersedia menjaga kesejahteraan mental mereka.

Selain kesihatan mental, bagaimanakah UiTM memastikan kebajikan pelajar orang kurang upaya (OKU) sentiasa terpelihara dan bentuk bantuan khusus yang diberikan?
UiTM sentiasa komited memastikan mahasiswa OKU mendapat peluang yang sama seperti mahasiswa lain untuk berjaya dalam bidang akademik dan pembangunan diri.
Bagi tujuan tersebut, universiti mempunyai mekanisme dan unit tertentu yang bertanggungjawab mengurus hal ehwal serta kebajikan mahasiswa OKU, iaitu Bahagian Perkhidmatan & Pembangunan OKU.
Dari semasa ke semasa, universiti turut menambah baik kemudahan dan infrastruktur mesra OKU di kampus bagi memastikan mereka dapat mengikuti proses pembelajaran dengan lebih selesa dan selamat.
Antara usaha yang dilaksanakan ialah penyediaan kemudahan penginapan dan pengangkutan yang sesuai serta akses yang lebih mudah kepada pelbagai fasiliti kampus.
Universiti juga sentiasa menilai keperluan semasa mahasiswa OKU supaya sebarang kekangan yang dihadapi dapat ditangani dengan sewajarnya. Ini termasuklah bantuan yuran pengajian.
Matlamat kami adalah memastikan mereka tidak berasa tersisih atau berdepan halangan yang boleh menjejaskan pengalaman pembelajaran di universiti.
Seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan golongan OKU, UiTM komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang inklusif serta memberi peluang yang sama kepada semua mahasiswa tanpa mengira latar belakang atau keupayaan fizikal mereka.
Sepanjang tempoh menerajui Hal Ehwal Pelajar, apakah antara keputusan paling sukar yang pernah perlu dibuat walaupun berdepan kritikan?
Dalam mengurus mahasiswa, ada kalanya pihak universiti perlu membuat keputusan yang tidak popular tetapi penting demi menjaga kepentingan pelajar secara keseluruhan.
Kebiasaannya, keputusan yang paling mencabar ialah perkara yang melibatkan kebebasan dan disiplin mahasiswa. Dalam situasi tertentu, universiti perlu mengambil pendekatan yang tegas walaupun mengetahui ia mungkin tidak disenangi oleh sebahagian pelajar.
Namun, setiap keputusan yang dibuat mempunyai rasional dan tujuan yang jelas, iaitu untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan serta pembangunan mahasiswa sentiasa terpelihara.
Selain itu, bagaimana pula HEP mengurus isu politik kampus yang sering menjadi perhatian mahasiswa dan bagaimana HEP menangani pelajar yang lantang bersuara atau mengkritik pihak universiti secara terbuka di media sosial?
Politik kampus merupakan satu aspek penting dalam proses pendidikan mahasiswa kerana ia memberi ruang kepada mereka mempelajari kepimpinan, demokrasi dan tanggungjawab sebagai warganegara.
Namun, seperti mana-mana proses demokrasi, politik kampus juga sering disertai pelbagai pandangan, tafsiran dan persepsi yang berbeza. Dalam keadaan ini, pihak universiti perlu memastikan segala aktiviti dijalankan secara matang, beretika dan tidak menjejaskan keharmonian kampus.
Kami sentiasa menekankan bahawa politik kampus seharusnya menjadi medium untuk membincangkan isu berkaitan kebajikan mahasiswa, pembangunan negara dan kepentingan masyarakat, bukannya medan untuk mewujudkan perpecahan.
Yang penting ialah mahasiswa memperoleh pengalaman yang dapat membantu mereka menjadi pemimpin yang lebih bertanggungjawab pada masa hadapan.
Perkembangan media sosial telah mengubah cara komunikasi berlaku dalam kalangan masyarakat, termasuk mahasiswa.
Kami memahami bahawa mahasiswa mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan berkongsi pendapat. Namun, mereka juga perlu memahami bahawa setiap kenyataan yang dibuat di ruang awam mempunyai implikasi dan tanggungjawab tersendiri.
Atas sebab itu, pendekatan yang diambil oleh HEP lebih bersifat mendidik berbanding menghukum. Kami sentiasa berusaha memberikan kefahaman kepada mahasiswa mengenai kesan sesuatu kenyataan, sama ada terhadap diri mereka sendiri, organisasi yang mereka wakili mahupun institusi secara keseluruhan.
Apa yang lebih penting ialah mahasiswa memahami bahawa kebebasan bersuara perlu disertai dengan tanggungjawab, etika dan pertimbangan yang matang.
Jika diberi peluang meneruskan perkhidmatan, apakah perkara utama yang masih ingin profesor laksanakan?
Antara perkara yang ingin saya teruskan ialah memperkukuhkan agenda keusahawanan mahasiswa.
Sejak penubuhan UiTM, antara matlamat utama institusi ini adalah untuk memperkasa masyarakat Bumiputera melalui pendidikan, pembangunan modal insan dan penglibatan dalam bidang ekonomi.
Saya percaya mahasiswa perlu didedahkan kepada budaya keusahawanan sejak di bangku universiti. Mereka bukan sahaja perlu menjadi pencari pekerjaan, tetapi juga pencipta peluang pekerjaan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
Atas sebab itu, pelbagai program keusahawanan telah diperkenalkan termasuk Koridor Keusahawanan Mahasiswa Kolej Kediaman yang menggalakkan pelajar menjalankan aktiviti perniagaan secara aktif di kampus.
Melalui program ini, mahasiswa berpeluang mempraktikkan ilmu yang dipelajari, membina keyakinan diri serta memahami realiti dunia perniagaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Bagaimana profesor melihat peranan mahasiswa dalam memperkukuhkan ekonomi Bumiputera pada masa hadapan?
Saya melihat mahasiswa sebagai kelompok yang akan menentukan masa depan ekonomi negara, khususnya dalam kalangan Bumiputera.
Baru-baru ini, Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026 telah mengemukakan pelbagai resolusi yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, pemerkasaan usahawan dan peningkatan penyertaan Bumiputera dalam sektor strategik.
Sebahagian daripada agenda tersebut turut melibatkan peranan mahasiswa dan institusi pengajian tinggi.
Oleh itu, saya berpandangan bahawa universiti perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam melahirkan graduan yang mempunyai ilmu, kemahiran, daya saing dan semangat keusahawanan yang tinggi agar mereka mampu menjadi peneraju ekonomi pada masa hadapan.
Profesor juga sering menyentuh mengenai kecerdasan buatan (AI). Mengapa perkara ini begitu penting kepada mahasiswa dan apakah kebimbangan profesor sekiranya mahasiswa tidak menguasai AI dan teknologi baharu?
Kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) bukan lagi teknologi masa hadapan, tetapi realiti yang sedang membentuk kehidupan dan industri pada hari ini.
Atas sebab itu, UiTM telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mahasiswa dalam bidang AI. Antaranya ialah pelaksanaan program latihan dan pensijilan yang boleh diikuti secara percuma oleh pelajar.
Namun, apa yang saya perhatikan ialah tahap penyertaan mahasiswa masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan walaupun peluang tersebut disediakan tanpa sebarang kos.
Keadaan ini menunjukkan bahawa masih terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa mengenai kepentingan AI dan bagaimana teknologi ini akan mempengaruhi masa depan kerjaya mereka.
Jika mahasiswa gagal memahami atau menguasai teknologi AI ini, mereka mungkin berdepan kesukaran untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan masa hadapan.
Lebih penting lagi, AI bukan sekadar alat teknologi, tetapi instrumen yang membantu manusia membuat keputusan berdasarkan data dan maklumat yang lebih tepat.
Sebab itu saya sering mengingatkan mahasiswa bahawa mereka perlu bersedia menghadapi perubahan ini dan mengambil peluang untuk mempelajari kemahiran baharu yang dapat meningkatkan daya saing mereka.
Bagaimana pula dengan kebolehpasaran graduan UiTM pada masa ini dan apakah harapan profesor terhadap mahasiswa UiTM pada masa hadapan?
Alhamdulillah, prestasi kebolehpasaran graduan UiTM berada pada tahap yang membanggakan melebihi 94 peratus.
Graduan UiTM terus menjadi pilihan majikan dan menerima pengiktirafan dalam pelbagai penilaian kebolehpasaran graduan. Ini menunjukkan bahawa kualiti pendidikan serta pembangunan mahasiswa yang dilaksanakan oleh universiti berada pada landasan yang baik.
Namun begitu, cabaran pada masa hadapan bukan sekadar mendapatkan pekerjaan, tetapi memperoleh pekerjaan yang menawarkan gaji dan peluang kerjaya yang lebih baik.
Oleh itu, universiti akan terus memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran, keusahawanan, penguasaan teknologi dan pembelajaran sepanjang hayat supaya graduan UiTM mampu memperoleh kerjaya yang berkualiti serta berpendapatan premium.
Harapan saya ialah agar mahasiswa UiTM terus menjadi generasi yang berilmu, berintegriti, berdaya saing dan sentiasa bersedia menghadapi perubahan dunia. Mereka perlu berani mencuba perkara baharu, menguasai teknologi, memiliki semangat keusahawanan dan pada masa yang sama mengekalkan nilai serta jati diri yang baik.
Saya percaya masa depan negara bergantung kepada generasi muda hari ini. Jika mereka dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan nilai yang betul, mereka bukan sahaja mampu mengubah kehidupan diri sendiri, malah berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat, bangsa dan negara.
