UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) melancarkan Inisiatif Semikonduktor@UiTM bagi mempercepat pembangunan bakat berkemahiran tinggi sekali gus menyokong aspirasi Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab semikonduktor global.

Inisiatif strategik itu dilaksanakan selaras dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (National Semiconductor Strategy - NSS) bagi memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kejayaan agenda pembangunan bakat semikonduktor memerlukan komitmen menyeluruh daripada institusi pengajian tinggi, pensyarah, mahasiswa dan pemain industri.

Beliau menyeru syarikat-syarikat industri supaya membuka lebih banyak peluang Work-Based Learning (WBL) bagi membolehkan mahasiswa memperoleh pengalaman sebenar dalam persekitaran industri.

- Advertisement / Iklan -

"Industri kena bukakan ruang untuk Work-Based Learning. Berikan ruang itu kepada pelajar-pelajar kita kerana talent is very important. Untuk membina bakat dalam bidang seperti ini, mereka perlu berada di industri yang berkenaan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Semikonduktor@UiTM, pada Selasa.

No Image Caption

- Advertisement / Iklan -

Menurut beliau, ketika ini Malaysia menguasai kira-kira 13 peratus aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor global, manakala sektor elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang lebih 40 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

"Nilai eksport semikonduktor negara pada 2025 sahaja dianggarkan mencecah RM390 bilion, sekali gus membuktikan sektor ini sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Zambry berkata, pembangunan modal insan perlu diperkukuh melalui latihan kepada mahasiswa, program reskilling dan upskilling untuk pensyarah serta peluasan penempatan industri.

Beliau turut mencadangkan supaya program sabatikal pensyarah diperluaskan ke syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia, khususnya dalam bidang kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

"Dunia sudah berubah. Profesor tidak semestinya menjalani sabatikal di universiti semata-mata, sebaliknya boleh ditempatkan di industri terbaik supaya kepakaran mereka sentiasa relevan dengan keperluan semasa," katanya.

Beliau berharap usaha bersepadu itu bukan sahaja memberi manfaat kepada warga UiTM, malah mampu melahirkan generasi baharu yang memiliki ilmu, kepakaran, akhlak dan daya saing tinggi demi kemajuan negara.

No Image Caption

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, UiTM menghargai kepercayaan kerajaan yang menyalurkan RM20 juta menerusi Belanjawan 2025 bagi menjayakan Inisiatif Semikonduktor@UiTM.

"UiTM amat bertuah kerana diberi amanah untuk memanfaatkan dana sebanyak RM20 juta khusus bagi inisiatif semikonduktor ini. Sebagai universiti terbesar negara, kami memikul tanggungjawab melahirkan graduan yang kompeten dan bersedia memenuhi keperluan industri," katanya ketika berucap pada majlis yang sama.

Beliau berkata, peruntukan itu dimanfaatkan untuk memperkukuh infrastruktur pengajaran dan pembelajaran menerusi pembangunan makmal fabrikasi semikonduktor, makmal pengukuran dan pengujian, reka bentuk litar bersepadu (IC), sistem terbenam serta proses automasi.

Menurutnya, UiTM turut mempertingkat kepakaran pensyarah dan pelajar melalui latihan khusus selain menubuhkan Institut Mikroelektronik dan Semikonduktor sebagai pemangkin pembangunan bakat dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik (E&E).

No Image Caption

Shahrin berkata, kejayaan inisiatif tersebut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama agensi seperti CREST dan ASEM, selain syarikat industri termasuk Intel, AMD, Weeroc Space Sdn. Bhd., Emerald Systems dan Aemulus Corporation.

Beliau berkata, kolaborasi bersama Weeroc Space turut membolehkan UiTM menghasilkan mikrocip elektronik kuasa menerusi projek tape-out Multi-Project Wafer dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC), sekali gus membuktikan sinergi antara akademia dan industri mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor global.