MANAGEMENT and Science University (MSU) terus mengukuhkan reputasinya di pentas antarabangsa apabila melonjak ke kedudukan ke-88 dunia dalam Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings 2026.

Pencapaian itu menyaksikan MSU meningkat daripada kelompok 101-200 dunia pada 2025 kepada kedudukan ke-88 dunia tahun ini dengan skor keseluruhan 89.8 peratus, sekali gus menjadi peningkatan terbaik sejak universiti itu mula tersenarai dalam penarafan berkenaan pada 2021.

MSU dalam kenyataan pada Khamis berkata, THE Sustainability Impact Ratings merupakan satu-satunya penarafan global yang menilai sumbangan universiti terhadap 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan empat komponen utama iaitu penyelidikan, pengurusan, jaringan dan pengajaran.

Menurut kenyataan itu, edisi kelapan penarafan berkenaan melibatkan 1,646 universiti dari 116 negara dan wilayah, yang dinilai berdasarkan komitmen serta impak masing-masing dalam memacu agenda pembangunan mampan.

- Advertisement / Iklan -

"MSU memperoleh skor bagi kesemua 17 SDG dengan beberapa kategori mencatat pencapaian cemerlang di peringkat global.

"Antara pencapaian terbaik ialah SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, apabila MSU berada di kedudukan ke-66 dunia dengan skor 91.6 peratus. Universiti itu turut mencatat kedudukan ke-29 dunia bagi SDG 4: Pendidikan Berkualiti dengan skor 83.3 peratus.

- Advertisement / Iklan -

"Lebih membanggakan, MSU muncul di kedudukan ketiga dunia bagi SDG 5: Kesaksamaan Jantina dengan skor 82.9 peratus, sekali gus meletakkannya antara universiti terbaik dunia dalam aspek pemerkasaan gender," katanya kenyataan itu

Selain itu, MSU berada di kedudukan ke-39 dunia bagi SDG 1: Tiada Kemiskinan dengan skor 82.7 peratus, manakala SDG 10: Ketidaksamaan Yang Kurang dan SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan masing-masing berada di kedudukan ke-60 dunia dengan skor 80.7 peratus dan 80.0 peratus.

Dalam kategori lain, MSU turut berada dalam kelompok 101-200 terbaik dunia bagi SDG 6, SDG 12, SDG 13 dan SDG 14. Bagi SDG 11 dan SDG 15, universiti itu berada dalam kelompok 201-300 dunia, manakala SDG 7 dan SDG 16 dalam kelompok 301-400 dunia, serta SDG 8 dan SDG 9 dalam kelompok 401-600 dunia.

Menurut kenyataan itu lagi, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan MSU dalam memperkukuh agenda kemampanan menerusi pelbagai inisiatif pembangunan lestari di kampus, selain membudayakan kecemerlangan, integriti dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universitinya.

"Usaha itu turut diperkasakan melalui penubuhan beberapa pusat kecemerlangan universiti, antaranya Centre for Applied Intelligence (CAI), MSU Centre for Climate Resilience & Strategy (m-CREST), Centre of Life-Enhancing Eyecare Innovation and Rehabilitation (CLEAR), Neuroscience & Mental Well-being Centre (NeuroMIND), MSU Centre for Environmental, Social and Governance (ESG) serta Global One Health Centre (G1).

"Kejayaan berkenaan turut didorong oleh kerjasama strategik antara MSU dengan institusi pengajian tinggi, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak berkepentingan dalam menjayakan agenda pembangunan mampan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta negara," katanya.