UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan UKM ESG Advisory, sebuah perkhidmatan Environmental, Social and Governance (ESG) yang bertujuan membantu organisasi di ASEAN memenuhi keperluan pelaporan kelestarian yang semakin kompleks selaras dengan piawaian dan rangka kerja ESG di peringkat serantau serta antarabangsa.

Naib Canselor UKM, Prof Dato Dr Sufian Jusoh berkata, UKM ESG Advisory menggabungkan empat komponen utama dalam satu ekosistem yang saling melengkapi iaitu latihan dan pensijilan ESG, platform pelaporan ESG berasaskan kecerdasan buatan (AI), perundingan ESG serta audit dan pengesahan ESG.

Menurut beliau, komponen latihan dan pensijilan ESG memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti bagi melengkapkan profesional dan organisasi dengan pengetahuan serta kemahiran ESG yang relevan dan diiktiraf.

“Bagi memudahkan proses pelaporan, UKM turut membangunkan Platform Pelaporan ESG Berasaskan AI yang membantu organisasi mengumpul data, memetakan metrik dan menjana laporan ESG dengan lebih cekap.

- Advertisement / Iklan -

“Platform tersebut menyokong 11 rangka kerja dan standard ESG antarabangsa serta serantau termasuk Taksonomi ASEAN, Global Reporting Initiative (GRI) dan International Sustainability Standards Board (ISSB).

“Ia juga dilengkapi dengan kalkulator karbon ASEAN yang merangkumi faktor pelepasan karbon khusus bagi kesemua 11 negara ASEAN untuk membantu organisasi mengukur serta melaporkan pelepasan karbon dengan lebih tepat,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Tambah beliau, UKM ESG Advisory turut menyediakan khidmat perundingan bagi membantu organisasi merancang dan melaksanakan pelan kelestarian yang berkesan.

Selain itu, perkhidmatan audit dan pengesahan ESG yang ditawarkan memastikan kesahihan serta integriti data dan pelaporan ESG sesebuah organisasi melalui proses semakan yang sistematik dan berasaskan bukti.

Melalui pelancaran tersebut, Prof Dr Sufian berharap UKM dapat membantu lebih banyak organisasi di ASEAN sekali gus menyumbang secara langsung kepada pembangunan lestari negara dan rantau ASEAN.

Beliau turut mengajak syarikat, agensi kerajaan serta organisasi antarabangsa untuk bekerjasama dalam memperkukuh agenda kelestarian ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan.