Build & Run 2026 jadi platform satukan komuniti
PROGRAM Build & Run 2026 anjuran Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam berjaya menghimpunkan warga universiti dan masyarakat setempat menerusi larian santai sejauh lima kilometer yang berlangsung di Padang Kawad UiTM Shah Alam, baru-baru ini.
Program yang berlangsung dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari itu menerima sambutan menggalakkan daripada pelajar, kakitangan universiti serta peserta awam yang hadir bagi menyertai aktiviti berteraskan kesihatan dan kecergasan.
Selain mempromosikan gaya hidup sihat, penganjuran program tersebut turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan komuniti kampus dan masyarakat.
Pengarah Program Build & Run 2026, Mohamad Hafiz Farhan Halim, berkata kejayaan penganjuran acara itu membuktikan aktiviti berasaskan kesihatan dan kecergasan terus mendapat sambutan positif daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, malah menjadi platform yang berkesan untuk mengukuhkan hubungan antara warga universiti dan masyarakat umum. Sambutan yang diterima pada tahun ini menunjukkan kesedaran terhadap kepentingan gaya hidup sihat semakin meningkat,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, peserta turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti sampingan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak penganjur. Semua peserta yang berjaya menamatkan larian menerima medal penamat, e-sijil penyertaan serta mata e-merit sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.
Menurut Mohamad Hafiz Farhan, kejayaan Build & Run 2026 diharap dapat menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program berimpak tinggi pada masa hadapan dalam usaha membudayakan amalan hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penaja, rakan kerjasama, sukarelawan dan jawatankuasa pelaksana yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran program tersebut.
Build & Run 2026 dilihat berjaya mencapai objektifnya sebagai platform yang menggabungkan elemen kesihatan, komuniti dan kebersamaan, selari dengan usaha UiTM dalam melahirkan masyarakat yang aktif, sihat dan sejahtera.
