UNIVERSITI Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus memperkukuh agenda kebajikan dan kebolehpasaran mahasiswa menerusi pelaksanaan Program MySiswa Job On Campus (JOC), inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi peluang kepada pelajar bekerja di dalam kampus sambil meneruskan pengajian.

Program itu bertujuan membantu mahasiswa menjana pendapatan sampingan, di samping meningkatkan pengalaman kerja, kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Majlis pelancaran program di peringkat UPNM telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Khairol Amali Ahmad.

Menurut beliau, pelaksanaan program itu membuktikan komitmen UPNM dalam menyokong aspirasi KPT untuk memastikan kebajikan mahasiswa terus dipelihara, selain melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Melalui program tersebut, pelajar berpeluang memperoleh pengalaman bekerja dalam persekitaran kampus yang kondusif tanpa menjejaskan komitmen akademik mereka.

- Advertisement / Iklan -

Selain membantu menambah pendapatan, pengalaman yang diperoleh turut menjadi nilai tambah kepada pembangunan diri, sekali gus meningkatkan keyakinan dan kesiapsiagaan mahasiswa sebelum memasuki alam pekerjaan.

Bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan tersusun, Pusat Kaunseling, Kerjaya dan Alumni (PKKA) UPNM dipertanggungjawabkan sebagai sekretariat pelaksana.

PKKA akan menyelaras penawaran penempatan pekerjaan di dalam kampus, pemantauan pelaksanaan program serta penglibatan pelajar sepanjang inisiatif tersebut dijalankan.

Pelaksanaan MySiswa Job On Campus mencerminkan komitmen UPNM dalam memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa, selain melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai pengalaman kerja dan kompetensi yang memenuhi keperluan industri semasa selaras dengan aspirasi UPNM 30.