169,803 lepasan SPM berjaya raih tempat ke IPTA
SERAMAI 169,803 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjaya memperoleh tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi UPUOnline bagi sesi akademik kali ini.
Jumlah itu merangkumi 72.11 peratus daripada keseluruhan 235,480 permohonan layak yang diterima Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sekali gus memberi peluang kepada ribuan lepasan sekolah untuk menyambung pengajian ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
Daripada jumlah keseluruhan tawaran itu, seramai 91,357 calon berjaya mendapat tempat di UA, diikuti 60,947 calon di Politeknik, 15,844 calon di Kolej Komuniti dan 1,655 calon di MARA BPT.
KPT dalam kenyataannya turut memaklumkan pelbagai laluan khas terus diperkasa bagi memastikan akses pendidikan tinggi lebih inklusif dan menyeluruh.
Antaranya melibatkan 701 calon Orang Kurang Upaya (OKU), 310 calon Orang Asli, 179 atlet serta 10,499 calon daripada kategori B40 yang berjaya menerima tawaran pengajian.
Selain itu, seramai 65 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menariknya, buat pertama kali, semua program pengajian dibuka kepada calon OKU berdasarkan kelayakan dan kesesuaian masing-masing sebagai langkah memperluas peluang pendidikan tinggi yang lebih adil dan inklusif.
Dalam masa sama, KPT turut mengambil inisiatif menawarkan tempat kepada calon yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dan ke atas sebagai usaha memastikan pelajar berprestasi tinggi mendapat peluang sewajarnya melanjutkan pengajian.
"Bagi sesi kali ini, sebanyak 363 program pengajian ditawarkan melibatkan 41 program sijil, 57 asasi, 264 diploma dan satu program ijazah sarjana muda.
"Kemasukan pelajar ke institusi berkenaan dilaksanakan berdasarkan prinsip meritokrasi dengan semua calon yang layak disusun mengikut markah merit tertinggi hingga terendah," kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, KPT membuka peluang kedua kepada calon yang tidak berjaya mendapat tawaran, menerusi proses rayuan UPUOnline yang dibuka selama 10 hari bermula 22 Mei 2026, jam 12 tengah hari hingga 31 Mei 2026, jam 5 petang.
