Steven Sim dimasyhurkan sebagai Canselor UKKM
MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) pada Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Kali Ke-2 UKKM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam kenyataan memaklumkan Sim turut menyampaikan sijil kepada 26 graduan yang menerima diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang pengajian.
Program berkenaan melibatkan lima program akademik, iaitu Diploma Pengurusan Koperasi, Diploma Keusahawanan Koperasi, Master in Business Administration (Cooperative Management), Master in Business Administration (Corporate Leadership) dan Master in Business Administration.
Sim dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada Canselor terdahulu, Datuk Ewon Benedick atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh awal pembangunan UKKM.
"UKKM masih muda, tetapi usia muda ini sebenarnya kekuatan kita. Kita ditubuhkan dalam era revolusi AI (kecerdasan buatan). Justeru kita ada peluang untuk membina sebuah universiti yang benar-benar relevan dengan dunia baharu," katanya dalam kenyataan sama.
Beliau berkata, UKKM berpotensi untuk dibangunkan sebagai AI-driven business school yang melahirkan generasi baharu usahawan, pemimpin koperasi dan penggerak ekonomi masa depan.
Katanya, universiti itu perlu berpaksikan semangat gerakan koperasi yang diperjuangkan Tokoh Koperasi Negara Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, iaitu memajukan ekonomi dan kebajikan rakyat serta memperkukuh perpaduan.
Sim berkata setakat Disember tahun lepas, gerakan koperasi di Malaysia telah mencatatkan perolehan hampir RM82 bilion, sekali gus membuktikan sektor koperasi dan keusahawanan mempunyai potensi besar untuk pembangunan kerjaya dan ekonomi negara. - Bernama
