Mahasiswa Pergigian UKM timba pengalaman global di tiga negara
FAKULTI Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila berjaya melaksanakan siri Program Mobiliti Mahasiswa ke Indonesia, Vietnam dan Korea Selatan sepanjang April 2026.
Program itu bukan sahaja membuka ruang pembelajaran di luar bilik kuliah, malah memberi pendedahan dunia sebenar kepada mahasiswa melalui pengalaman klinikal, integrasi teknologi pergigian moden serta jaringan akademik antarabangsa.
Dekan Fakulti Pergigian, Prof. Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom berkata, fakulti sentiasa komited menyokong agenda pengantarabangsaan pelajar dalam usaha melahirkan graduan yang kompetitif, holistik dan berfikiran global.
“Inisiatif ini merupakan langkah berterusan fakulti dalam memacu kecemerlangan akademik di peringkat global.
“Selain membina rangkaian akademik yang kukuh antara Fakulti Pergigian UKM dengan universiti-universiti ternama dunia, program ini terbukti mampu membina kemenjadian diri mahasiswa yang lebih cemerlang,” katanya.

Siri mobiliti antarabangsa itu dimulakan dengan penyertaan enam mahasiswa ke Fakultas Kedokteran Gigi, Universitas Mahasaraswati, Bali, Indonesia dari 6 hingga 10 April lalu.
Sepanjang program tersebut, mahasiswa didedahkan dengan lawatan klinikal melibatkan Klinik Prostodontik, Klinik Pergigian Operatif, Klinik Oral dan Maksilofasial, Klinik Endodontik serta Dewan Bedah Utama.
Mereka turut mengikuti bengkel ‘Hands-On’ selain melaksanakan aktiviti Pendidikan Kesihatan Mulut di peringkat prasekolah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan pendedahan kepada kesihatan komuniti.
Dalam tempoh sama, empat lagi mahasiswa dihantar ke Seoul National University Dental Hospital, Korea Selatan menerusi program Global Dental Leadership & Clinical Excellence Mobility: The SNU-UKM Strategic Exchange 2026 bagi menjalani latihan externship intensif.
Program itu memberi fokus kepada pendedahan amalan klinikal terbaik serta penggunaan teknologi digital terkini khususnya di Jabatan Prostodontik dan Jabatan Bedah Mulut serta Maksilofasial (OMFS).

Sementara itu, lima mahasiswa lain pula menyertai program mobiliti ke Universiti Perubatan dan Farmasi Ho Chi Minh City, Vietnam pada 13 hingga 17 April 2026.
Program tersebut memberi tumpuan kepada pertukaran amalan klinikal dan tinjauan teknikal ke makmal kepakaran khususnya dalam bidang Prostodontik dan Pembedahan Mulut.
Mahasiswa turut berpeluang memperkaya ilmu menerusi interaksi bersama tenaga pengajar antarabangsa selain memahami perkembangan terkini bidang pergigian global.
Pendedahan antarabangsa seperti ini dilihat penting dalam memastikan mahasiswa pergigian UKM terus relevan dan bersedia menghadapi perkembangan pesat revolusi perubatan serta teknologi kesihatan dunia.
