Malaysia tarik minat pelajar beraspirasi dari wilayah selatan India
UNIVERSITI di Malaysia semakin menarik minat pelajar beraspirasi dari wilayah selatan India.
Sejumlah institusi pendidikan, termasuk kampus cawangan universiti asing di Malaysia, mempamerkan pilihan pendidikan tinggi masing-masing di Hyderabad pada Ahad.
Malaysia berjaya menarik sejumlah besar pelajar daripada komuniti India bukan pemastautin (NRI), namun permintaan terhadap pendidikan luar negara di India jauh lebih besar, kata Ketua Pegawai Eksekutif REXPO Ahmad Rezal Chan, yang firma perunding perniagaannya menganjurkan jelajah promosi pendidikan itu.
Wilayah selatan India cenderung lebih menghargai ijazah luar negara kerana hubungan diaspora yang kukuh serta lebih peka terhadap kelayakan yang mendapat permintaan.
"Kami mempromosikan pendidikan Malaysia selama bertahun-tahun dalam kalangan komuniti diaspora India di Asia Barat. Kebanyakan pelajar India di Malaysia berasal dari selatan India, jadi kami berada di sini untuk bertemu ibu bapa dan pelajar,” kata Ahmad di Hyderabad.
Jelajah promosi itu meliputi Hyderabad, Chennai dan Kochi, dari 17 hingga 22 Mei.
Sebanyak 19 universiti menyertai siri jelajah itu yang dikendalikan agensi kaunseling REXPO, Education Malaysia Global Assist (EMGA).
Wakil institusi berkenaan berkata, terdapat keperluan untuk mendekati pelajar di kawasan yang menunjukkan minat tinggi terhadap pengajian di luar negara.
"Jumlah pelajar dari India meningkat sejak 2020. Kami memperluaskan penglibatan bagi menarik lebih ramai pelajar,” kata Ketua Jabatan Antarabangsa HELP University, Trilie Siow Tyi Yng.
Beliau berkata, kursus dalam bidang kecerdasan buatan, sains data, keselamatan siber dan pengajian perniagaan semakin popular.
Daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi semakin meningkat di Asia Selatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan dasar visa yang lebih fleksibel, kos pengajian berpatutan serta pelbagai pilihan kursus siswazah dan pascasiswazah dalam bahasa Inggeris.
"Malaysia menjadi pilihan utama ramai pelajar kerana kedudukan geografinya yang dekat serta kualiti pendidikan yang ditawarkan,” kata Ketua Unit Pengajian Luar Negara Shaheen Group of Institutions, Syed Azharuddin.
Azharuddin menghadiri acara di Hyderabad itu bagi meneroka peluang kerjasama dengan universiti Malaysia serta memahami dengan lebih mendalam proses pengambilan pelajar negara ini.
"Kami bekerjasama dengan universiti di Kyrgyzstan dan Tajikistan bagi kursus MBBS. Kini kami sedang meneroka kerjasama akademik dengan universiti Malaysia,” katanya.
Pelajar India juga mendapati mereka mudah menyesuaikan diri dengan makanan serta persekitaran pelbagai budaya di Malaysia, selain lawatan ibu bapa lebih mudah dilakukan kerana faktor jarak yang dekat.
"Kelebihan yang ditawarkan Malaysia kepada pelajar Asia Selatan sememangnya jelas,” kata Azharuddin. - Bernama
