MSU raikan 1,879 graduan pada Konvokesyen ke-37
SERAMAI 1,879 graduan daripada 120 program akademik diraikan dalam Majlis Konvokesyen ke-37 Management and Science University (MSU) yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad di Dewan Canselor universiti berkenaan.
Jumlah graduan itu merangkumi 63 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 79 graduan Sarjana, 966 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 771 graduan Diploma.

Majlis konvokesyen tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Kedah yang juga Canselor MSU, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Dalam titah baginda, graduan disaran melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan bagi menyesuaikan diri dengan cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.
Menurut baginda, peralihan daripada alam kampus yang lebih tersusun kepada dunia realiti pekerjaan merupakan satu fasa penting yang hadir bersama peluang dan cabaran tersendiri.
“Persaingan kini semakin sengit dan sebahagian kemahiran teknikal mula diambil alih teknologi kecerdasan buatan (AI). Justeru, kemahiran insaniah seperti komunikasi, keupayaan beradaptasi, pemikiran kritis dan sifat prihatin menjadi nilai tambah penting kepada graduan.
“Walaupun cemerlang dalam akademik, graduan perlu bersedia dengan pelbagai kemahiran tambahan untuk menyesuaikan diri dengan realiti alam pekerjaan,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen MSU ke-37 di sini, pada Ahad.

Turut hadir Presiden dan Pengasas MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid; Pro Canselor, Prof. Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Naib Canselornya, Prof. Puan Sri Dr. Junainah Abd. Hamid.
Pada majlis tersebut, Nur Desslinna Cheah Mohd Ridzuan Cheah daripada program Bachelor of Education (Hons)-TESL dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor.
Sementara itu, Anugerah Presiden diberikan kepada Abdul Ahad A.K.S Mohd Salleh bagi kategori Doctor of Philosophy (Accounting/Finance), Choong Shuning bagi Bachelor in Economics and Finance (Honours) serta Adam Haris Hazatul Isman daripada program Diploma in Computer Forensic.

Turut menerima pengiktirafan ialah Muhammad Azrai Mohd Shamsol Bahri daripada program Bachelor in Creative Multimedia yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Tertinggi Mohd Shukri Yajid.
Dalam pada itu, seramai 36 graduan menerima Anugerah Akademik manakala 20 graduan lagi menerima Anugerah Industri.
MSU terus memperkukuh agenda transformasi pendidikan tinggi menerusi pendekatan holistik yang menekankan aspek kebolehpasaran graduan, jaringan industri, keusahawanan, pengantarabangsaan, penyelidikan, kelestarian komuniti dan pembelajaran sepanjang hayat.
Keberkesanan pendekatan itu terbukti apabila Kajian Pengesanan Graduan 2025 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi merekodkan kadar kebolehpasaran graduan MSU mencapai 99.7 peratus, antara yang tertinggi di negara ini.
Universiti itu turut diiktiraf oleh Talentbank menerusi pengiktirafan The Employers’ Choice of University 2026 selain menerima penarafan kebolehpasaran enam bintang bagi bidang pergigian, hospitaliti, undang-undang dan pelancongan.
