ASWARA santuni bakat Gen Z dalam industri kreatif
AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan seni kreatif negara menerusi penganjuran ASWARA X Festival Kuala Lumpur: ASWARA Artskap 2026 yang tampil dengan pendekatan lebih segar dan dekat dengan generasi muda.
Program itu menjadi platform untuk memperkenalkan pelbagai bidang pengajian seni kreatif kepada masyarakat khususnya golongan belia dan lepasan sekolah yang berminat meneroka potensi diri dalam bidang penulisan kreatif, filem, seni persembahan, kandungan digital dan budaya kreatif.

Menerusi penganjuran tersebut, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem turut mengetengahkan beberapa pengisian menarik seperti Bengkel Penerbitan Kandungan Vertikal, Bengkel Pengucapan Awam serta tayangan wayang pacak yang memberi pengalaman sinematik lebih dekat kepada komuniti.
Dekan Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Muhammed Izzat Hasan berkata, program berkenaan dirangka selari dengan hasrat memperkenalkan ASWARA sebagai hab pendidikan seni kreatif yang berkredibiliti tinggi dan relevan dengan kehendak industri semasa.
“Program seperti ini membuka ruang kepada generasi muda untuk melihat bahawa penulisan, penceritaan, filem dan kandungan digital bukan sekadar minat, tetapi juga bidang ilmu dan kerjaya yang mempunyai masa depan luas dalam ekosistem kreatif semasa,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengisian seperti bengkel kandungan vertikal dan pengucapan awam dipilih bagi memenuhi keperluan industri masa kini yang menuntut generasi muda lebih berani berkarya, berkomunikasi dan menghasilkan kandungan relevan di platform digital.
