Mahasiswa Malaysia-Indonesia ‘link up’ bina legasi kepimpinan serantau
USAHA membentuk mahasiswa berjiwa pemimpin kini semakin ‘next level’ menerusi penganjuran Program Regional Global Leadership for Sustainable Economy & Wellbeing Immersion Malaysia–Indonesia 2026 yang berlangsung pada 27 hingga 30 April lalu.
Program itu dianjurkan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersama dua universiti dari Indonesia iaitu Universitas Ahmad Dahlan (UAD) dan Universitas Teknologi Yogyakarta (UTY).
Apa yang menarik, program ini berjaya menghimpunkan seramai 155 peserta secara fizikal dan hibrid melibatkan 12 universiti dari Malaysia dan Indonesia.
Bukan sekadar program biasa, inisiatif ini menjadi platform mahasiswa untuk ‘connect’, berkongsi idea dan belajar tentang kepimpinan, kesejahteraan diri serta pembangunan ekonomi lestari dalam suasana lebih terbuka dan interaktif.

Sepanjang empat hari program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk bicara akademik, sesi perkongsian ikon alumni serta dialog santai mahasiswa yang memberi ruang untuk bertukar pandangan dan pengalaman.
Malah, peserta turut dicabar menerusi pertandingan pembentangan idea dan amalan terbaik (best practices) antara universiti dengan fokus kepada solusi kreatif berkaitan isu ekonomi lestari, kepimpinan mahasiswa dan kesejahteraan komuniti.
Dalam masa sama, beberapa pengiktirafan khas turut diberikan termasuk Best Presenter Regional Award kepada peserta yang tampil cemerlang sepanjang program.

Bukan itu sahaja, peserta yang menunjukkan kemahiran interpersonal dan kepimpinan berasaskan empati turut menerima Pensijilan Helping Skills.
Kemuncak program menyaksikan seramai 24 mahasiswa dipilih sebagai Ambassador Global Leadership and Wellbeing Malaysia–Indonesia 2026 mewakili semua institusi yang terlibat.
Mereka bakal memainkan peranan sebagai ‘bridge’ kolaborasi antara mahasiswa kedua-dua negara menerusi pelbagai projek susulan seperti forum kepimpinan, aktiviti komuniti, perkongsian ilmu dan pembangunan sahsiah sehingga penghujung tahun ini.
Secara keseluruhan, program ini membuktikan mahasiswa hari ini bukan hanya mahu cemerlang dalam akademik semata-mata, tetapi juga bersedia menjadi generasi pemimpin yang lebih progresif, berwawasan dan mampu memberi impak di peringkat global.
