PROGRAM Nusantara EduBridge: Misi Siswa Sukarelawan Rentas Negara berjaya menghimpunkan mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia menerusi kolaborasi strategik antara Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universitas Teknologi Yogyakarta dan Universitas Ahmad Dahlan.

Program yang berlangsung sempena Global Leadership and Well-being Immersion Malaysia–Indonesia 2026 itu bukan sekadar platform kesukarelawanan, malah menjadi jambatan memperkukuh hubungan pendidikan, kepimpinan dan pembangunan komuniti antara dua negara serumpun.

No Image Caption

Menariknya, hampir 400 kanak-kanak dari Sekolah MI Daarul Ulum Sinar Melati dan Sekolah Panti Asuhan Bima Bhakti terlibat dalam program berimpak tinggi ini dengan dibimbing oleh 30 fasilitator mahasiswa daripada ketiga-tiga institusi.

- Advertisement / Iklan -

Pendekatan E.F.G iaitu Education, Fun, Guide menjadi tunjang utama program apabila pembelajaran disampaikan dalam suasana santai, interaktif dan menyeronokkan. Konsep ini memberi penekanan kepada keseimbangan antara ilmu, hiburan dan bimbingan bagi membantu kanak-kanak membina keyakinan diri serta potensi kepimpinan sejak usia muda.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang program termasuk Smart Learning Adventure berasaskan permainan pendidikan, Mini Role Play Cita-Cita yang memberi peluang kepada peserta melakonkan impian kerjaya mereka, serta sesi Motivation Circle “Aku Boleh!” yang membuka ruang kepada kanak-kanak berkongsi impian dan cabaran secara terbuka bersama fasilitator.

- Advertisement / Iklan -

Turut mencuri perhatian ialah Creative Corner Nusantara yang merangsang kreativiti melalui aktiviti seni dan Team Building Fun Games yang menguji semangat kerjasama, disiplin serta kepimpinan peserta dalam suasana penuh ceria.

Dalam masa sama, penglibatan mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia turut menyerlahkan peranan mereka sebagai duta kecil universiti dan negara selaras dengan aspirasi UPNM 30 dalam melahirkan graduan berdaya kepimpinan, berjiwa masyarakat dan memiliki semangat kesukarelawanan tinggi.

No Image Caption

Program ini juga menjadi medium diplomasi pendidikan secara tidak langsung antara Malaysia dan Indonesia apabila mahasiswa bukan sahaja turun padang membantu komuniti, malah turut bertukar budaya, pengalaman dan idea kepimpinan rentas negara.

Secara keseluruhan, Nusantara EduBridge berjaya memberi impak positif kepada semua pihak terlibat. Kanak-kanak menunjukkan peningkatan dari segi keyakinan diri, keberanian berkomunikasi dan motivasi untuk belajar, manakala mahasiswa pula memperoleh pengalaman bermakna dalam aspek kepimpinan, komunikasi dan empati sosial.

Lebih daripada sekadar program sukarelawan, Nusantara EduBridge membuktikan bahawa gabungan pendidikan, keseronokan dan bimbingan menerusi konsep E.F.G mampu melahirkan generasi muda yang lebih berilmu, berkeyakinan dan berdaya saing di peringkat serantau.