KEPUTUSAN permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 22 Mei ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, semakan keputusan bagi kemasukan peringkat sijil, asasi dan diploma untuk Sesi Akademik 2026/2027 boleh dibuat mulai jam 12 tengah hari pada tarikh berkenaan sehingga jam 5 petang, 31 Mei 2026.

Menurut KPT, calon boleh membuat semakan secara dalam talian menerusi portal rasmi UPUOnline di https://upu.mohe.gov.my selain menggunakan aplikasi UPUPocket dan aplikasi MyGov di telefon pintar.

“KPT menegaskan tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2026/2027 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian di UA, IPTA serta MARA BPT tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

- Advertisement / Iklan -

Bagi calon yang berjaya, pengesahan setuju terima tawaran perlu dibuat bermula 23 hingga 31 Mei menerusi laman web institusi masing-masing.

Surat tawaran rasmi pula akan dikeluarkan mulai 23 Mei selepas calon membuat pengesahan penerimaan tawaran dalam tempoh ditetapkan.

- Advertisement / Iklan -

Dalam pada itu, KPT memaklumkan hanya pemohon yang tidak berjaya atau menerima tawaran peringkat sijil sahaja dibenarkan mengemukakan rayuan melalui UPUOnline.

Permohonan rayuan boleh dibuat dalam tempoh 10 hari bermula jam 12 tengah hari, 22 Mei hingga jam 5 petang, 31 Mei.

Bagi rayuan ke Kolej Komuniti, permohonan perlu dihantar terus kepada institusi berkenaan tanpa melalui sistem UPUOnline.

“Kejayaan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat mengikut program pengajian selepas proses pendaftaran pelajar baharu selesai,” menurut kenyataan itu. – Bernama