Dari kampus ke industri: Alumni MTUN kongsi realiti kerjaya
UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan apabila mahasiswa universiti ini menganjurkan Wacana Kerjaya Alumni Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bersempena UTeM Career Fair 2026 di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.
Program yang menghimpunkan lebih 500 peserta itu menjadi ruang santai tetapi bermakna yang menghubungkan mahasiswa dengan dunia industri melalui perkongsian pengalaman sebenar alumni MTUN yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor kritikal negara.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, penganjuran program tersebut menunjukkan perubahan positif dalam cara mahasiswa kini lebih proaktif membina masa depan mereka.
“Ini adalah manifestasi pemerkasaan mahasiswa yang bukan sahaja menunggu peluang, tetapi mencipta peluang. Platform seperti ini membantu mahasiswa memahami kehendak industri dengan lebih jelas serta meningkatkan keupayaan mereka untuk kekal relevan dalam dunia kerjaya yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berfikiran luas, berani meneroka dan mampu menjadi pemangkin perubahan dalam bidang masing-masing.
Sementara itu, Pengarah program, Haziq Damia berkata, penglibatan alumni memberi nilai tambah besar kepada mahasiswa kerana ia membuka ruang kepada gambaran dunia kerja yang lebih realistik.
“Perkongsian pengalaman sebenar alumni termasuk cabaran, kegagalan dan kejayaan memberikan gambaran lebih jelas dan realistik kepada pelajar dalam merancang hala tuju kerjaya mereka,” katanya.
Menurut beliau yang merupakan pelajar tahun 2, program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE), program ini turut menampilkan sesi dialog terbuka, perkongsian kerjaya alumni dan sesi jaringan profesional bersama industri.
Pendekatan yang diketengahkan memberi fokus kepada pendedahan realiti industri, pembinaan jaringan profesional serta pemetaan kerjaya yang lebih tersusun dalam kalangan mahasiswa.
Penganjuran Wacana Kerjaya Alumni MTUN ini bukan sahaja melengkapkan UTeM Career Fair 2026, malah memperlihatkan peranan aktif mahasiswa dalam membina ekosistem pembelajaran yang lebih dinamik, relevan dan berimpak tinggi selaras dengan keperluan masa depan negara.
