DALAM bidang yang lazimnya didominasi lelaki, seorang wanita muda membuktikan keupayaannya apabila berjaya membina perniagaan perabot sendiri bersama-sama dengan suami sehingga memiliki sebuah kilang di Tanjung Dawai, Kedah.

Bagi Nurul Syifa' Ahmad Zohri, 31, minat pada pertukangan bukan sekadar hobi, sebaliknya menjadi asas kepada perjalanan beliau dengan suami, Mohd Izuwan Mat Rabi, 31, dalam membina perniagaan perabot sejak 2018.

Mengusahakan perniagaan di bawah Izuwan Furniture Skills Enterprise, pasangan itu pada awalnya beroperasi di Banting, Selangor sebelum mengambil keputusan berpindah sepenuhnya ke Tanjung Dawai sekitar 2021 susulan cabaran ketika pandemik Covid-19.

"Kami beroperasi di Banting selepas saya mengikuti program jangka pendek di bawah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia. Ketika itu kami hanya menyewa bengkel dan menggunakan peralatan asas, dengan projek kecil yang banyak membantu kami menimba pengalaman.

- Advertisement / Iklan -

"Ketika pandemik Covid-19, banyak sektor tidak dibenarkan beroperasi dan menyukarkan kami. Jadi kami ambil keputusan balik ke Kedah dan mula semula dari bawah, termasuk membina kilang sendiri secara berperingkat menggunakan modal permulaan hampir RM100,000," katanya baru-baru ini.

Nurul Syifa' berkata, kilang itu siap sepenuhnya pada 2022 dan mereka kini mampu mengeluarkan antara tiga ke empat jenis perabot sehari.

- Advertisement / Iklan -

Memiliki kelulusan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Malaysia Perlis, ibu kepada dua cahaya mata ini terlibat dalam keseluruhan proses menghasilkan perabot, daripada rekaan hingga kemasan terakhir.

"Saya ada asas dalam pertukangan sejak zaman belajar dan kemahiran itu diasah melalui pengalaman projek dan juga bimbingan suami, sehingga saya yakin untuk mengendalikan mesin serta menghasilkan perabot sendiri," katanya.

Bercerita lanjut Nurul Syifa' berkata, mereka mengeluarkan pelbagai jenis perabot termasuk kabinet televisyen, almari pakaian serta kabinet dapur menerusi tempahan, selain produk siap pasang seperti kabinet penyimpanan yang berharga mampu milik.

Katanya rekaan berkonsepkan arch yang menampilkan elemen lengkungan menjadi antara identiti utama produk mereka kerana tampil elegan serta sesuai dengan trend semasa.

"Rekaan arch ini nampak lebih lembut dan elegan, dan juga bersifat timeless serta mudah disesuaikan dengan pelbagai konsep kediaman, sama ada moden atau minimalis. Kebanyakan pelanggan juga memilih rekaan ini kerana nampak lebih kemas dan unik.

"Setiap tempahan pula biasanya mengikut keperluan pelanggan, dari segi saiz, warna dan susun atur. Ada juga pelanggan yang berkongsi idea sendiri dan kami akan bantu realisasikan supaya sesuai dengan ruang rumah mereka," katanya, menambah kabinet televisyen dan kabinet penyimpanan berkonsepkan arch antara produk yang mendapat permintaan tinggi.

Berkongsi cabaran pula, Nurul Syifa' berkata, antara yang terpaksa beliau hadapi ialah persepsi masyarakat tentang wanita dalam bidang pertukangan memandangkan sektor itu menuntut kudrat yang bukan sedikit.

"Kerja pertukangan agak berat dan memerlukan tenaga fizikal, malah ada ketika rasa penat dan hampir berputus asa.

"Namun saya anggap semua itu sebagai cabaran untuk terus belajar dan membaiki diri. Tambahan pula, anak-anak menjadi sumber kekuatan untuk saya terus bertahan dan membuktikan wanita juga mampu berjaya dalam bidang ini jika diberi peluang," katanya. - Bernama