Bila Mesut Ozil ‘turun padang’ gegar USM
KAMPUS Universiti Sains Malaysia (USM) jadi tumpuan luar biasa apabila legenda bola sepak dunia, Mesut Özil muncul menyantuni mahasiswa dan peminat tempatan dalam satu program berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Kehadirannya bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi membawa bersama aura bintang yang pernah mencipta nama di pentas tertinggi bola sepak dunia sekali gus mencetus keterujaan dalam kalangan warga kampus.
Ketika Arsenal terus memburu impian menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim ini, kehadiran Özil seakan menghidupkan semula aura The Gunners simbol semangat juang dan legasi yang masih kuat dalam jiwa penyokong setia.

Nama Özil sendiri tidak asing lagi dan cukup sinonim dengan kreativiti atas padang, visi permainan kelas dunia dan sentuhan magis yang pernah menjadikannya antara pemain tengah paling berpengaruh di Eropah sepanjang bersama Arsenal dan Real Madrid.
Menerusi program Inspiring Excellence Through Sport, mahasiswa berpeluang mendengar sendiri kisah jatuh bangun karier legenda itu daripada cabaran di pentas tertinggi bola sepak dunia sehinggalah detik manis menjulang trofi Piala Dunia FIFA 2014 bersama Jerman.
Suasana terus ‘panas’ apabila sesi meet and greet diserbu peminat yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan tandatangan, bergambar dan cipta memori bersama idola mereka.
Sorakan demi sorakan pula bergema ketika Klinik Bola Sepak berlangsung, jelas menggambarkan betapa besar pengaruh Özil terhadap generasi muda hari ini.
Lebih mencuri tumpuan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut mencabar Özil dalam pertandingan sepakan penalti yang menceriakan suasana program.

KPT melihat penganjuran program ini sebagai satu usaha memperkasa pembangunan mahasiswa secara holistik melalui inspirasi sukan bertaraf dunia bukan sahaja membina jati diri, malah menyemai disiplin dan daya tahan kepimpinan.
Lebih daripada sekadar sesi santai bersama legenda bola sepak, program ini turut membuka ruang memperkukuh jaringan antarabangsa antara Malaysia dan Republik Türkiye dalam sektor pendidikan tinggi.
Kehadiran Özil merupakan sebahagian daripada delegasi rasmi Republik Türkiye sempena Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia–Republik Türkiye yang berlangsung dari 27 hingga 29 April 2026.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman; serta Naib Canselor USM, Datuk Seri Prof Ir Dr Abdul Rahman.
