SUASANA kampus TVET Mara Pasir Mas bertukar lebih meriah daripada biasa apabila seramai 80 pelajar menyertai program Campus Rush Explorace yang bukan sahaja mencabar fizikal, tetapi turut menguji kemahiran berfikir dan semangat kerja berpasukan.

Bukan sekadar pertandingan dari satu checkpoint ke satu checkpoint, program itu memberi pengalaman berbeza kepada peserta apabila mereka perlu berdepan situasi yang menuntut komunikasi, keputusan pantas dan kebolehan menyelesaikan masalah seperti di dunia pekerjaan sebenar.

Dianjurkan oleh Sinar Daily dan Sinar Varsity dengan kerjasama TVET Mara Pasir Mas, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif libat urus universiti yang menggabungkan aktiviti fizikal, tugasan minda serta elemen literasi media dalam suasana lebih santai dan interaktif.

Berlangsung pada 22 April, peserta daripada pelbagai program diploma dibahagikan kepada 10 kumpulan campuran untuk menyelesaikan cabaran di sembilan checkpoint yang disediakan di sekitar kampus.

- Advertisement / Iklan -

Ir Supardi Amaludin
Ir Supardi Amaludin

Pengarah TVET Mara Pasir Mas, Ir Supardi Amaludin berkata, program seperti itu penting kerana ia memberi ruang kepada pelajar mempelajari perkara yang sukar diperoleh menerusi pembelajaran di bilik kuliah semata-mata.

- Advertisement / Iklan -

“Kerja berpasukan adalah antara nilai paling penting dalam program ini kerana ia tidak boleh dikuasai sepenuhnya melalui pembelajaran teori.

“Pelajar perlu mengurus masa, membuat keputusan pantas dan menangani perbezaan pendapat, terutamanya di setiap checkpoint,” katanya.

Sebanyak 10 kumpulan campuran bersaing melalui sembilan checkpoint dengan bantuan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bertindak sebagai sukarelawan
Sebanyak 10 kumpulan campuran bersaing melalui sembilan checkpoint dengan bantuan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bertindak sebagai sukarelawan

Menurut beliau, penggabungan pelajar daripada pelbagai bidang juga memberi gambaran sebenar tentang suasana di tempat kerja.

“Kami sengaja campurkan pelajar daripada kursus berbeza supaya mereka boleh bertukar idea dan belajar menyesuaikan diri, sama seperti di tempat kerja.

“Alhamdulillah, objektif program tercapai dan maklum balas daripada pelajar sangat positif,” katanya.

Peserta terdiri daripada pelajar Diploma Seni Bina, Diploma Teknologi Kejuruteraan Bangunan, Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Industri), Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk), Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa), serta Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Domestik dan Industri).

Antara aktiviti yang mencuri perhatian ialah cabaran “Trust or Trash” yang menguji keupayaan peserta menilai kesahihan artikel sama ada boleh dipercayai, meragukan atau palsu.

Turut diadakan ialah permainan realiti maya, kuiz Smartlympics, Aqua Sprint, cabaran Run & Reveal QR, Lompat Pocong, tugasan koordinasi, Giant Snake and Ladder serta cabaran membina jambatan yang benar-benar menguji kerjasama di bawah tekanan.

Seramai 80 pelajar daripada pelbagai program diploma menyertai cabaran seluruh kampus yang direka seakan situasi sebenar di industri.
Seramai 80 pelajar daripada pelbagai program diploma menyertai cabaran seluruh kampus yang direka seakan situasi sebenar di industri.

Sebelah petang pula diisi dengan sesi dialog terbuka menerusi tayangan “Conversations With The Youth”, diikuti perbincangan mengenai cabaran yang dihadapi golongan muda masa kini.

Program berkenaan diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada tiga kumpulan terbaik yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM500, RM400 dan RM300 berserta hamper, manakala kumpulan lain menerima cenderamata penghargaan.