Konvokesyen UPM ke-50 tampil 19 graduan sulung pertanian pintar

- Advertisement / Iklan -
Foto Sinar Harian oleh MOHD HALIM ABDUL WAHID

SERAMAI 19 graduan sulung program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar dengan Kepujian bakal diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50 Sidang 2 Tahun 2026, sekali gus mencerminkan perkembangan pendidikan pertanian seiring penggunaan teknologi moden.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib berkata, pengenalan program berkenaan memperlihatkan usaha universiti menyesuaikan pendidikan pertanian dengan perkembangan teknologi, automasi dan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti sektor itu.

"Sebagai sebuah universiti yang mempunyai sejarah dan kekuatan dalam bidang pertanian, UPM terus memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga berpengetahuan dan berkemahiran bagi memenuhi keperluan sektor pertanian serta memperkukuh keterjaminan makanan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 2 Tahun 2026 pada Jumaat.

- Advertisement / Iklan -

Foto Sinar Harian oleh MOHD HALIM ABDUL WAHID

Menurutnya, seramai 1,045 graduan daripada pelbagai program pengajian pertanian akan diraikan pada sidang berkenaan.

- Advertisement / Iklan -

"Lebih istimewa pada konvokesyen ke-50 ini, UPM turut melahirkan seramai 19 graduan sulung program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar dengan Kepujian.

"Kami berharap graduan yang dilahirkan ini dapat membawa pengetahuan, idea dan pendekatan baharu dalam membantu memajukan sektor pertanian serta menangani cabaran keterjaminan makanan negara," katanya.

Selain itu, seramai 26 graduan sulung daripada empat program pengajian turut akan diraikan, terdiri daripada lima graduan Master Psikologi Klinikal, seorang Master Kejuruteraan Sistem Kawalan, seorang Master Perancangan Kewangan Personal dan 19 graduan Bacelor Teknologi Pertanian Pintar dengan Kepujian.

Kesemua graduan sulung berkenaan akan menerima ijazah masing-masing pada sesi pertama konvokesyen, 30 November ini.

Majlis konvokesyen yang berlangsung selama tujuh hari bermula 30 November hingga 6 Disember 2026 itu akan diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM, Serdang.

Seramai 6,443 graduan daripada pelbagai program pengajian akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Sidang 2, merangkumiIjazah Doktor Falsafah (PhD) seramai 846 graduan, Ijazah Sarjana (1,841 graduan, Ijazah Bacelor (3,741 graduan) dan Diploma (15 graduan).

Terdahulu, Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 1 berlangsung di UPM Sarawak pada 2 hingga 3 November lalu dengan meraikan 619 graduan, menjadikan jumlah keseluruhan bagi kedua-dua sidang seramai 7,062 graduan.

Dalam perkembangan lain, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Tuanku Canselor UPM berkenan menyempurnakan istiadat pengurniaan ijazah dan diploma pada sesi pertama, 30 November ini.

Istiadat pengurniaan ijazah bagi sesi kedua pada 1 Disember, sesi keempat pada 3 Disember dan sesi kelima pada 4 Disember pula akan disempurnakan Pro Canselor UPM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie.

Manakala, Pro Canselor UPM, Tan Sri Peter Chin Fah Kui akan menyempurnakan istiadat bagi sesi ketiga pada 2 Disember serta sesi keenam pada 5 Disember dan sesi ketujuh pada 6 Disember.

Pada sesi pertama, Tuanku Canselor turut berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Kesihatan Awam kepada Datuk Dr. Lekhraj Rampal a/l Gyanchand Rampal sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang kesihatan awam.

Konvokesyen kali ini turut menyaksikan pengurniaan gelaran Profesor Emeritus kepada tiga tokoh akademik UPM atas sumbangan dan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing dan seramai 16 graduan turut menerima anugerah dan hadiah peringkat universiti atas kecemerlangan dalam bidang akademik, kepimpinan, kokurikulum, keusahawanan dan penyelidikan.

Dalam pada itu, empat atlet negara turut diraikan atas kejayaan menamatkan pengajian di UPM meskipun mempunyai komitmen dalam bidang sukan.

Mereka terdiri daripada atlet angkat berat, Muhammad Erry Hidayat Muhammad Hidayat; atlet olahraga, Nurul Ashikin Abas; serta dua atlet bola jaring, Khairul Najiha Iman Sholahuddin dan Siti Maisarah Affandi.

Lebih membanggakan, Nurul Ashikin turut menerima Pingat Emas Razlan Putra pada konvokesyen kali ini.

Abd Rahim berkata, kejayaan atlet berkenaan membuktikan kecemerlangan dalam bidang sukan dan akademik mampu dicapai secara seiring menerusi disiplin, komitmen dan pengurusan masa yang baik.

"Kejayaan mereka memperlihatkan bahawa kecemerlangan dalam bidang sukan dan akademik mampu dicapai secara seiring melalui disiplin, komitmen dan pengurusan masa yang baik," katanya.

Beliau berkata, UPM akan terus menyokong pembangunan atlet pelajar bagi memastikan mereka bukan sahaja mampu mengharumkan nama universiti dan negara dalam bidang sukan, malah berjaya dalam pengajian serta mempunyai persediaan yang baik untuk masa hadapan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib. - Foto Sinar Harian oleh MOHD HALIM ABDUL WAHID

Mengulas penganjuran konvokesyen kali ke-50, Abd Rahim berkata, majlis itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya mencerminkan perjalanan panjang UPM dalam melahirkan generasi berilmu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

"Peranan UPM hari ini bukan sahaja memastikan para pelajar memperoleh kelayakan akademik, tetapi juga menyediakan mereka dengan ilmu, kemahiran, nilai dan keupayaan untuk menghadapi perubahan dunia yang semakin mencabar," katanya.

Beliau berkata, UPM berharap setiap graduan dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara, selaras dengan moto universiti, Berilmu Berbakti.