KEPRIHATINAN berterusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam menjaga kebajikan pelajarnya selepas tragedi nahas bas di Gerik tahun lepas membolehkan dua penuntutnya yang terselamat meneruskan pengajian sehingga berjaya menggenggam ijazah pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28.
Nik Khairulnisa Ruzmi dan Nurul Farhana Ab Aziz, masing-masing berusia 24 tahun, merupakan antara lima mangsa yang terselamat daripada nahas berkenaan yang bergraduasi pada konvokesyen tahun ini, dengan kedua-duanya menerima skrol pada sesi ketiga hari ini.
Nik Khairulnisa, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) dengan Kepujian yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.85, berkata UPSI banyak membantunya selepas kejadian menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk kewangan, sesi kaunseling dan sokongan moral bagi membantunya melalui tempoh sukar itu.
Beliau berkata, pihak universiti turut menanggung sepenuhnya yuran pengajiannya pada semester lepas, sekali gus meringankan beban kewangan dan membolehkannya memberikan tumpuan kepada pelajaran.
“Bantuan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada saya untuk memberikan tumpuan kepada pengajian. Saya sangat menghargai segala keprihatinan dan usaha pihak universiti,” katanya ketika ditemui pada Istiadat berkenaan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Anak kepada pesara tentera itu berkata beliau mengalami sedikit trauma pada peringkat awal selepas kejadian, namun semakin pulih dengan sokongan orang sekeliling sebelum kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Mengakui bukan mudah menerima hakikat kehilangan rakan-rakan yang terkorban dalam tragedi itu, Nik Khairulnisa berkata, cabaran paling besar ialah meneruskan pengajian tanpa mereka yang sepatutnya turut meraikan kejayaan bersama pada hari konvokesyen.
Beliau berkata, kejayaan menamatkan pengajian amat bermakna kerana keputusan peperiksaan pada semester enam merupakan pencapaian terbaiknya sepanjang empat tahun pengajian, meskipun melalui pengalaman yang amat mencabar.
“Sejujurnya, ada satu ketika saya pernah terfikir sama ada saya mampu untuk meneruskan pengajian selepas apa yang berlaku. Namun, Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya sampai ke tahap ini.
“Saya berharap dapat meneruskan cita-cita menjadi seorang guru dan membawa semangat rakan-rakan yang telah meninggal dunia sebagai penghargaan buat mereka yang tidak berpeluang sampai ke tahap ini bersama saya,” katanya.
Sementara itu, Nurul Farhana, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Geografi) dengan Kepujian yang memperoleh PNGK 3.60, berkata, UPSI turut memberikan bantuan kewangan, sokongan emosi dan mental serta kemudahan pengangkutan untuk membolehkannya kembali ke universiti bagi meneruskan pengajian.
Beliau berkata, pihak universiti juga memberikan kelonggaran ketika menjalani Program Perantis Guru (PPG), selain mendapat dorongan daripada pensyarah dan pihak universiti untuk terus berusaha sehingga tamat pengajian.
“Cabaran terbesar ialah saya perlu mengatasi trauma dan membina semula semangat untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya perlu kuat dari segi mental dan emosi untuk kembali fokus kepada pengajian,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, universiti komited memastikan pelajar yang terlibat dalam tragedi itu terus mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya, khususnya dalam aspek kebajikan serta kelangsungan pengajian mereka.