PERSARAAN selepas 35 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan tidak menghalang bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) ke-20, Datuk Dr Azman Adnan untuk kembali menuntut ilmu sehingga berjaya memperoleh kelayakan Doktor Pendidikan pada usia 61 tahun.
Beliau yang mengikuti program Doktor Pendidikan (Kepimpinan dan Dasar Pendidikan) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Award of Academic Qualifications (APEL.Q) membuktikan pengalaman profesional boleh terus diperkaya melalui pembelajaran akademik.
Azman berkata, keputusan menyambung pengajian selepas bersara didorong keinginan untuk memberikan dimensi akademik kepada pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang kepimpinan dan pentadbiran pendidikan.
“Pada usia 60 tahun, saya kembali menjadi pelajar. Bukan kerana saya belum cukup pengalaman, tetapi kerana saya percaya pengalaman yang luas masih perlu diperkaya dengan ilmu.
“Persaraan menamatkan kerjaya rasmi saya, tetapi tidak pernah menamatkan perjalanan pembelajaran saya,” katanya dalam wawancara khas bersama Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI.
Beliau berkata, pengalaman mengurus sekolah, pentadbiran pendidikan daerah dan negeri serta menerajui kepimpinan pendidikan negara perlu diteliti semula melalui perspektif teori, penyelidikan dan refleksi akademik.
Menurutnya, laluan APEL.Q bukan jalan pintas untuk memperoleh kelayakan akademik kerana calon perlu membuktikan pengalaman terdahulu menghasilkan pembelajaran yang setara dengan tahap kedoktoran.
“Pengalaman kita tidak diterima begitu sahaja. Kita perlu membuktikan bahawa daripada pengalaman itu telah berlaku pembelajaran pada tahap yang setara dengan tahap kedoktoran.
“Keputusan untuk belajar adalah mudah. Prosesnya sahaja tidak mudah,” katanya.
Sepanjang penilaian APEL.Q, beliau perlu melalui empat komponen iaitu Portfolio, Field and Validation Visit (FVV), Ujian Cabaran dan Capstone yang menuntut pembuktian kompetensi serta pencapaian pembelajaran.
Bagi komponen Capstone, beliau menjalankan kajian bertajuk Kepimpinan Instruksional sebagai Pemangkin Keberkesanan Intervensi Kurikulum dalam Sistem Pendidikan di Malaysia sebelum membentangkan dan mempertahankannya dalam sesi viva pada 24 Julai 2026.
Azman yang memulakan kerjaya sebagai guru sebelum memegang pelbagai jawatan kepimpinan pendidikan termasuk Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi) menamatkan perkhidmatan pada 5 Julai 2025 selepas 35 tahun berkhidmat.
Beliau berkata, kejayaan memperoleh kelayakan itu bukan penamat perjalanan ilmu, sebaliknya membuka ruang untuk terus menyumbang melalui penulisan, penyelidikan, perkongsian ilmu dan bimbingan kepimpinan kepada warga pendidik.
“Saya ingin melihat lebih ramai guru, pemimpin sekolah dan pegawai pendidikan meneruskan pengajian serta pembangunan profesional tanpa menjadikan faktor usia atau tempoh perkhidmatan sebagai halangan,” katanya.
Beliau menerima kelayakan Doktor Pendidikan itu pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 yang berlangsung hingga 2 Disember ini, membabitkan lapan sesi dengan seramai 6,781 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.