Usaha memartabatkan bahasa Semai dalam pendidikan

- Advertisement / Iklan -

Bahasa Semai adalah bahasa pribumi bagi salah satu suku kaum Orang Asli di Malaysia dan dituturkan oleh masyarakat Semai.

Berdasarkan data terbuka yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), etnik Semai mempunyai populasi yang tinggi di Semenanjung Malaysia dan hanya terdapat di tiga negeri, iaitu Perak, Pahang serta satu daerah di Selangor.

Bahasa Semai mula diperkenalkan dalam silibus pendidikan pada pertengahan 90-an iaitu pada 9 Mac 1996 di beberapa sekolah rintis di negeri Perak.

Pada ketika itu, mata pelajaran Bahasa Semai diperkenalkan sebagai mata pelajaran tambahan yang bermula dengan pengajaran di sekolah rendah.

- Advertisement / Iklan -

Bahasa Semai juga melalui beberapa peringkat semakan kurikulum, bermula daripada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) serta Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) kepada Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), sebelum beralih kepada penggunaan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan yang terkini Dokumen Kurikulum (DK) bagi silibus 2027.

Mata pelajaran Bahasa Semai ditawarkan sebagai mata pelajaran tambahan dengan peruntukan masa minimum setahun 48 jam dan ia diperkenalkan bermula dari Tahun 1 sehingga Tahun 6.

- Advertisement / Iklan -

Pelaksanaan kurikulum sekolah menengah pula secara berperingkat mulai tahun 2017. Mata pelajaran Bahasa Semai di sekolah menengah juga ditawar sebagai mata pelajaran elektif dengan peruntukan masa minimum setahun adalah 64 jam.

Bahasa Semai yang digunakan dalam konteks akademik berasaskan dialek Semai dari daerah Tapah, Batang Padang, Perak, manakala sekolah di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pengajaran Bahasa Semai dilaksanakan oleh guru bukan opsyen, namun masih dalam kalangan penutur jati yang memiliki ikhtisas pendidikan dalam bidang Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Pengenalan mata pelajaran Bahasa Semai di peringkat menengah menjadi permulaan Bahasa Semai dimasukkan dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada tahun 2019 sebelum dimansuhkan.

Di peringkat menengah atas, Bahasa Semai turut termasuk dalam pentaksiran akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula pada tahun 2021 di SMK Sri Tapah, Tapah Perak.

Kini calon SPM Bahasa Semai memasuki kohort yang ke-6 dan SMK Sri Tapah, Tapah Perak menjadi satu-satunya sekolah menengah yang majoritinya murid orang asli Semai dan menawarkan Bahasa Semai di peringkat SPM.

Secara tidak langsung, mata pelajaran Bahasa Semai diiktiraf dalam pendidikan Malaysia sebagai mata pelajaran bahasa etnik.

Justeru, memahami kekangan dan mendepani cabaran dalam mengajar Bahasa Semai di sekolah, Universiti Pendidikan Sultan Idris mengambil inisiatif menawarkan Program Bahasa Etnik (Bahasa Semai) bermula di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan pascasiswazah. Penawaran program tersebut dibawah Jabatan Bahasa Etnik, Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi awam yang menawarkan program major etnik yang melibatkan Bahasa Iban (Sarawak), Bahasa Kadazandusun (Sabah) dan Bahasa Semai (Orang Asli).

Sebagai sebuah universiti berfokus, UPSI berperanan mengangkat dan memperkasakan Bahasa Semai sebagai bahasa ilmu melalui penawaran program etnik yang berstruktur.

Pengajian Bahasa Semai bukan sahaja memberi pengiktirafan dalam bidang akademik tetapi membuka ruang kepada kajian lingusitik, kesusasteraan dan pedagogi bahasa ibunda secara bersistematik.

Usaha yang dilaksanakan oleh UPSI ini membuktikan bahawa Bahasa Semai berpotensi berkembang sebagai bahasa ilmu, dan tidak terhad kepada fungsi sebagai bahasa komunikasi lisan semata-mata.

Melalui program pendidikan ini, UPSI turut berperanan melahirkan graduan yang kompeten, berkarisma dan komited, seterusnya menyumbang kepada pembangunan pendidikan serta meningkatkan motivasi komuniti Orang Asli untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Graduan yang memiliki ikhtisas dalam bidang Bahasa Semai boleh menyumbang khidmat sebagai guru Bahasa Semai di sekolah.

Selain itu, mereka juga berpotensi membina kerjaya sebagai penyelidik, penulis bahan pembelajaran dan penterjemah bahasa, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ilmu dan pengajaran Bahasa Semai.

Permohonan kemasukan ke program Diploma Bahasa Etnik dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Etnik (Bahasa Semai) boleh dibuat melalui Unit Pusat Universiti (UPU) secara atas talian, dan tiada laluan khas disediakan. Walau bagaimanapun, kuota bagi calon orang asli masih disediakan.

Calon Orang Asli daripada suku Semai boleh memohon program ini melalui laman sesawang unit kemasukan pelajar IPTA apabila ia diumumkan.

Bagi calon orang Asli daripada suku lain, mereka juga dialu-alukan untuk memohon, tetapi bersyarat mestilah fasih bertutur dan memahami Bahasa Semai dengan baik.

Walaupun program ini masih baharu, UPSI aktif dalam penyelidikan dan pendokumentasian Bahasa Semai. Inisiatif ini dijalankan bagi memartabatkan bahasa ibunda agar tidak terpinggir dan perlahan-lahan hilang.

UPSI turut menjalin kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, sekolah Orang Asli dan pertubuhan bukan kerajaan, membolehkan usaha pemartabatan Bahasa Semai dilaksanakan secara holistik.

Program promosi, bengkel bahasa dan latihan guru menjadi medium penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan bahasa ibunda.

Kesimpulannya, dalam memartabatkan Bahasa Semai, UPSI bukan sahaja menumpukan perhatian kepada bidang akademik, malah merangkumi usaha pemeliharaan warisan, pembangunan modal insan dan pengukuhan pendidikan inklusif.

Komitmen berterusan universiti serta motivasi daripada anak-anak Orang Asli Semai amat diperlukan agar Bahasa Semai terus dipelihara sebagai sebahagian daripada khazanah bahasa dan identiti negara.

* Zuraily a/p Uda@Longgok ialah Pensyarah di Jabatan Bahasa Etnik, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI.