PENGASAS Les' Copaque Production Datuk Burhanuddin Md Radzi dan tiga penggiat seni tanah air masing-masing menerima pengiktirafan akademik pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-28, pada Rabu.
Burhanuddin, 70, yang juga dikenali melalui watak"Tok Dalang" dalam siri animasi popular Upin & Ipin, dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Multimedia oleh Canselor UPSI Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada istiadat yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Pada majlis sama, penyanyi Anis Suraya, bekas vokalis kumpulan New Boyz Shah Indrawan Ismail atau Tomok serta pelakon veteran Zulkifli Ismail masing-masing menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan menerusi laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APEL.Q).
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam kenyataan berkata, penganugerahan kepada Burhanuddin mengiktiraf sumbangan besarnya membangunkan industri animasi tempatan sehingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Mengenai pencapaian tiga penggiat seni itu pula, Md Amin berkata kejayaan mereka membuktikan pengalaman profesional dalam industri mempunyai nilai ilmu yang boleh dinilai serta diiktiraf pada peringkat pendidikan tinggi.
"UPSI sentiasa komited memperluas akses pendidikan tinggi melalui pendekatan pembelajaran fleksibel dan pengiktirafan pengalaman terdahulu.
"Kejayaan ini membuktikan bahawa proses menuntut ilmu tidak terhad kepada usia atau laluan pendidikan konvensional, sebaliknya boleh diteruskan sepanjang hayat," katanya.
Sementara itu, Burhanuddin yang memiliki latar belakang kejuruteraan petroleum menyifatkan keputusan menubuhkan Les' Copaque bersama-sama isterinya Datin Ainon Ariff pada 2005 tanpa pengalaman animasi sebagai perubahan terbesar dalam kerjayanya.
Bermula dengan hanya lapan pekerja, syarikat itu menerbitkan Upin & Ipin pada 2007 dengan mengekalkan identiti Malaysia termasuk bahasa, makanan tradisional dan nilai kekeluargaan.
"Kami tidak perlu menjadikan Upin & Ipin seperti watak animasi dari Amerika atau Jepun. Hari ini, kanak-kanak di luar negara juga mengenali nasi lemak, rendang dan sambutan Hari Raya melalui Upin & Ipin, ini membuktikan untuk berjaya pada peringkat dunia, kita tidak perlu menjadi orang lain," katanya.
Dalam pada itu, Anis Suraya atau nama sebenarnya Tengku Ani Soraya Tengku Abdullah Sulaiman, 45, mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 menerusi penyelidikan mengenai evolusi interpretasi vokalnya sepanjang kerjaya sejak 1998.
Shah Indrawan, 42, yang memiliki lebih 25 tahun pengalaman dalam industri muzik pula melihat ilmu akademik sebagai pelengkap kepada pengalaman pentasnya, sekali gus menyokong impiannya membuka akademi muzik pada masa hadapan.
Bagi Zulkifli, 63, yang berkecimpung lebih empat dekad dan membintangi lebih 300 produksi sejak 1986, usia bukan penghalang untuk menambah ilmu bagi mempertingkatkan tahap pemikiran dalam bidang lakonan.
Turut menerima pengiktirafan khas pada istiadat itu ialah Tan Sri Idris Jusoh yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Tahfiz, manakala Prof Dr Zakaria Ali dikurniakan gelaran Profesor Emeritus.
Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 yang berlangsung hingga 2 Disember ini membabitkan lapan sesi dengan seramai 6,781 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing. - Bernama