KECEKAPAN penggunaan tenaga di kampus bukan hanya bergantung kepada sistem dan kemudahan yang disediakan, sebaliknya turut memerlukan kesedaran serta disiplin pengguna dalam mengelakkan pembaziran elektrik.
Menyedari kepentingan itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) melaksanakan program HEP UiTM Energy Smart Campus bagi menerapkan amalan penggunaan elektrik secara selamat dan cekap dalam kalangan mahasiswa.
Program julung kali yang berlangsung di Kolej Mawar, UiTM Shah Alam itu melibatkan lebih 200 mahasiswa, dengan tumpuan kepada keselamatan elektrik, penjimatan tenaga dan tanggungjawab bersama dalam pengurusan kemudahan kolej kediaman.
Menurut kenyataan HEP UiTM, penilaian sebelum dan selepas program menunjukkan peningkatan skor bagi kesemua 10 aspek yang diukur, dengan skor pascaprogram antara 4.86 hingga 4.89 daripada lima mata.
"Peningkatan paling ketara direkodkan dalam kefahaman mahasiswa mengenai konsep Time of Use (ToU), diikuti pengetahuan tentang tindakan yang betul ketika berhadapan insiden renjatan elektrik.
"Inisiatif di bawah kepimpinan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr Haji Mohd Sazili Shahibi itu menjadikan Kolej Mawar sebagai kolej kediaman pertama melaksanakan program berkenaan," katanya.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaannya diketuai Pengetua Kolej Mawar, Dr Shamshimah Samsuddin dengan penglibatan kepakaran akademik Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Shah Alam menerusi sesi perkongsian oleh Profesor Madya Ir Ts Dr Rahimi Baharom selaku penceramah utama dan dibantu tiga fasilitator iaitu Dr Norazlan Hashim, Profesor Ir Dr Mohamad Huzaimy Jusoh dan Ts Wan Muhamad Hakimi Wan Bunyamin.
"Sepanjang program, mahasiswa didedahkan kepada tiga komponen utama merangkumi Energy Smart Living, keselamatan elektrik dan penjimatan tenaga bagi meningkatkan kefahaman terhadap pengurusan penggunaan elektrik secara bertanggungjawab.
"Antara perkara yang diberi penekanan termasuk risiko penggunaan soket secara berlebihan, kabel rosak dan pengecas bermasalah, selain tindakan sewajarnya ketika berlaku insiden renjatan elektrik.
"Pendedahan turut merangkumi corak penggunaan elektrik pada waktu puncak dan bukan puncak menerusi konsep ToU, termasuk kesan penggunaan beberapa peralatan berkuasa tinggi secara serentak terhadap beban elektrik," katanya.
Menurut HEP UiTM, usaha membudayakan penggunaan tenaga secara berhemah bukan sekadar tanggungjawab pihak pengurusan universiti, malah memerlukan penglibatan aktif mahasiswa sebagai pengguna kemudahan kampus.
"Amalan tersebut berpotensi membantu mengurangkan pembaziran tenaga dan mengoptimumkan kos utiliti, khususnya di kolej kediaman yang menempatkan sejumlah besar mahasiswa.
"Inisiatif berkenaan turut menyokong aspirasi Pelan Strategik UiTM2030 dalam memperkukuh kelestarian kampus serta membentuk warga universiti yang mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar," katanya.
Susulan pelaksanaan sulung di Kolej Mawar, HEP UiTM merancang memperluas program Energy Smart Campus ke kolej kediaman lain dalam sistem UiTM bagi memastikan lebih ramai mahasiswa mendapat pendedahan berkaitan keselamatan dan kecekapan penggunaan tenaga.
Usaha itu mencerminkan bahawa agenda kampus lestari memerlukan pendekatan menyeluruh, bukan sahaja melalui penambahbaikan infrastruktur dan teknologi, tetapi juga pembentukan budaya penggunaan tenaga secara cekap dalam kalangan seluruh warga universiti.