Anak pemandu lori raih Pingat Emas Canselor USM

- Advertisement / Iklan -

BERBEKALKAN sokongan keluarga dan minat dalam bidang sains, anak seorang pemandu lori, Tharmini, membuktikan latar belakang keluarga bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan (Kepujian).

Anak kedua daripada tiga beradik yang berasal dari Ipoh, Perak itu berkata, pengiktirafan tersebut cukup bermakna kerana mencerminkan segala usaha, pengorbanan dan cabaran yang dilaluinya sepanjang empat tahun menuntut ilmu di menara gading.

Beliau berkata, berita kejayaan itu turut menjadi detik paling menggembirakan apabila dapat dikongsi bersama bapanya S.Sivanasan, 53, ibunya suri rumah Sarina, 47.

"Saya amat bersyukur menerima pengiktirafan daripada pihak USM kerana anugerah ini menggambarkan segala usaha, cabaran dan pengalaman yang saya lalui sepanjang empat tahun di universiti malah anugerah ini bukan sebagai pengakhiran, sebaliknya permulaan untuk terus membaiki diri dan mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita pada sidang media khas Upacara Konvokesyen ke-64 USM, pada Isnin.

- Advertisement / Iklan -

Gadis itu berminat untuk meneroka bidang farmakogenetik dan neurosains, selain mahu menyumbang kepada pembangunan penyelidikan kesihatan yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat di Malaysia.

Beliau yang kini bertugas sebagai penolong penyelidik di Universiti Malaya (UM) merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan seterusnya doktor falsafah (PhD) bagi merealisasikan cita-citanya menjadi seorang penyelidik.

- Advertisement / Iklan -

"Masih banyak persoalan dalam bidang kesihatan yang memerlukan penelitian dan penemuan baharu, sekali gus mendorong saya untuk terus mendalami penyelidikan dalam bidang itu supaya dapat menghasilkan sesuatu yang lebih bermanfaat serta baik," katanya yang mempunyai pasangan kembar Tarini, pelajar undang-undang di UM.

Seorang lagi graduan cemerlang, Ong Zi Lin, 24, dari Segamat, Johor, yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kegunaan (Kepujian) Statistik Gunaan, membuktikan bahawa status sebagai pelajar kelainan upaya (PKU) tidak menyekat kecemerlangan akademik apabila beliau memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82.

Ong yang merupakan PKU autism berkata kejayaannya bukan diraih melalui kaedah menghafal semata-mata, sebaliknya menerusi pemahaman mendalam terhadap setiap subjek serta usaha mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam tugasan dan kehidupan sebenar.

"Sekiranya saya tidak faham, saya akan mencari maklumat melalui Google atau YouTube, kalau masih tidak faham, saya akan minta pensyarah terangkan dengan lebih lanjut dan kadangkala pensyarah mengajar agak cepat, jadi saya perlu mendapatkan penjelasan supaya benar-benar memahami sesuatu perkara," kata anak penoreh getah itu yang menerima Anugerah Pingat Emas USM.

Sementara itu, graduan Sains Kemasyarakatan, Fariza binti Ahmad Fauzan, 24, dari Dungun, Terengganu yang mencatatkan PNGK 3.77 dan meraih Anugerah Dekan setiap semester, diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja Majlis Raja-Raja Malaysia pada konvokesyen itu.

Fariza berkata, kejayaan tersebut dicapai menerusi disiplin menguruskan masa dengan baik, termasuk membahagikan komitmen antara pengajian, aktiviti kokurikulum dan pekerjaan sambilan sebagai barista di sebuah kafe di USM. - Bernama