UiTM teliti beban kos kolej kediaman

- Advertisement / Iklan -
Beri tumpuan kepada penambahbaikan pengurusan kolej kediaman termasuk penyelarasan mekanisme pengecualian dan pengurangan bayaran bagi membantu pelajar yang memerlukan

KOS penginapan antara cabaran yang perlu diberi perhatian dalam memastikan mahasiswa dapat meneruskan pengajian dengan selesa, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan.

Menyedari keperluan itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberi tumpuan kepada penambahbaikan pengurusan kolej kediaman, termasuk penyelarasan mekanisme pengecualian dan pengurangan bayaran bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, pengurusan residensi perlu sentiasa disesuaikan dengan keperluan semasa mahasiswa, terutama ketika berdepan peningkatan kos sara hidup, keterbatasan kemudahan penginapan dan isu kesejahteraan.

Menurut beliau, kolej kediaman bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, malah menjadi persekitaran penting dalam membentuk sahsiah, kematangan emosi, kepimpinan serta kemahiran insaniah mahasiswa.

- Advertisement / Iklan -

"Perkara itu dibangkitkan ketika beliau menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat dan Konvensyen Residensi UiTM (KRU) 2026 yang menghimpunkan 130 pemimpin serta penggerak pengurusan kolej kediaman di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), Sendayan, Negeri Sembilan.

"Antara perkara yang diberi perhatian ialah pelaksanaan mekanisme pengecualian dan pengurangan bayaran kolej secara lebih telus serta sistematik, dengan mengambil kira keperluan mahasiswa yang berdepan kesukaran sosioekonomi," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, selain aspek kebajikan, UiTM turut menggariskan Lima Pilar Penyelesaian Tuntas sebagai kerangka transformasi pengurusan residensi menjelang 2030.

"Kerangka itu merangkumi kelestarian perkhidmatan, pengoptimuman ruang, pengauditan berterusan, pengurusan risiko dan krisis serta pengukuhan sinergi warga kerja.

"Pelaksanaannya melibatkan audit penggunaan ruang kediaman, naik taraf infrastruktur lama dan penerokaan premis penginapan di luar kampus bagi mengoptimumkan kapasiti serta meningkatkan kualiti kemudahan untuk mahasiswa," katanya.

Pengurusan residensi lebih cekap

Sementara itu, Pengarah Pusat Residensi dan Hospitaliti Pelajar (PRHP) UiTM, Hajah Ikhwana Haji Misnan berkata, konvensyen itu menjadi platform untuk mengenal pasti dan merangka penyelesaian terhadap isu operasi yang dihadapi pengurusan kolej kediaman di seluruh kampus.

Menurutnya, kerjasama dengan Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), Jabatan Pembangunan serta Pusat Pengurusan Risiko UiTM turut digerakkan bagi memperkukuh audit kualiti, pengoptimuman ruang dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.

"Konvensyen bertemakan “Residensi Lestari, Pemacu Kualiti Perkhidmatan” itu turut memberi penekanan kepada pembangunan kompetensi pengurusan, termasuk pengendalian mahasiswa bukan residen (NR), kerjasama pasukan, pengurusan acara, perabot sewaan dan inovasi perkhidmatan residensi," katanya.

Program anjuran PRHP dengan kerjasama ILD itu berlangsung selama tiga hari dua malam. Ia turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada pesara warga residensi oleh Profesor Dr Mohd Sazili dalam majlis makan malam dan perasmian bertemakan Black Gold pada 18 November.

Pengarah Pentadbiran ILD UiTM, Che Wan Kamarul Hishysam Che Wan Ahmad ketika menyempurnakan majlis penutupan konvensyen menyeru semua delegasi supaya menterjemahkan resolusi yang dirumuskan kepada tindakan penambahbaikan yang memberi manfaat secara langsung kepada mahasiswa.

Dengan jumlah melebihi 180,000 mahasiswa di 34 kampus seluruh negara, usaha memperkukuh pengurusan residensi dilihat penting bagi memastikan kemudahan penginapan yang berkualiti, selamat dan inklusif dapat terus disediakan, sekali gus meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai keutamaan.