UMK perkasa Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan

- Advertisement / Iklan -
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Zameri Mat Nawang (tengah) memyerahkan sijil pengiktirafan kepada Penasihat Persatuan Pengusaha Nasi Kerabu Kelantan (PERMEKA) Nik Hassen Mohd Zin (kiri) pada Pelancaran Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan Projek Harta Intelek dan Pelancongan Gastronomi. Turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Yusnieza Syarmila Yusoff (kanan).

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menggabungkan kepakaran daripada pelbagai fakulti bagi menjayakan pendaftaran Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan, sekali gus membantu melindungi warisan gastronomi negeri itu.

Ketua pasukan perunding UMK, Profesor Dr Julie Juliewaty Mohamed berkata, penglibatan universiti itu sebagai perunding menggabungkan kepakaran akademik dan teknikal bagi menyokong usaha berkenaan dengan mengambil kira pengalaman pengusaha tempatan.

Beliau berkata, pasukan perundingan itu terdiri daripada lima ahli, termasuk dirinya daripada Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, manakala empat lagi ialah Prof Madya Roslizawati Che Aziz, Dr Ahmad Fahme Mohd Ali, Raja Norliana Raja Omar dan Abdullah Muhamed Yusoff daripada Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan.

"Gabungan kepakaran ini memperkukuh usaha memelihara warisan, melindungi harta intelek dan membangunkan pelancongan gastronomi, dengan pengalaman pengusaha tempatan sebagai asas pelaksanaannya," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

- Advertisement / Iklan -

Julie Juliewaty berkata, penglibatan UMK turut merangkumi bantuan dalam penyediaan dan proses pendaftaran cap kolektif menerusi kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Pertubuhan Harta Intelek Sedunia, Persatuan Pengusaha Restoran Melayu Kelantan (Permeka) dan Kerajaan Negeri Kelantan.

Pendaftaran yang dilaksanakan pada 29 Julai lepas itu bertujuan mewujudkan identiti jenama yang mempunyai perlindungan harta intelek, selain meningkatkan keterlihatan produk, keyakinan pengguna dan promosi perniagaan secara lebih tersusun.

- Advertisement / Iklan -

Julie Juliewaty berkata, kejayaan inisiatif itu turut bergantung kepada komitmen berterusan pengusaha serta kefahaman masyarakat mengenai tujuan dan kepentingan penggunaan cap kolektif.

Pencapaian itu diraikan menerusi Majlis Pelancaran Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan, Projek Harta Intelek dan Pelancongan Gastronomi di Kota Bharu pada Selasa lepas, yang turut menyaksikan penyerahan sijil cap kolektif kepada wakil Permeka. - Bernama