HASIL penyelidikan bukan sekadar untuk diterbitkan, sebaliknya perlu mempunyai mutu dan nilai ilmu yang mampu menyumbang kepada perkembangan masyarakat serta negara.
Usaha itu membuahkan hasil buat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila dua jurnal terbitannya menerima Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award (MRSA) 2026 menerusi pengiktirafan Jurnal Current Research in Malaysia (CREME).
Dua jurnal berkenaan ialah Malaysian Journal of Music (MJM) bagi kategori Seni, Kemanusiaan dan Sains Sosial serta Journal of Science and Mathematics Letters (JSML) bagi kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan (STEM).
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan penyelidik universiti menghasilkan karya ilmiah berkualiti dan berimpak tinggi dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, anugerah berkenaan merupakan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengiktiraf sumbangan penyelidik serta jurnal tempatan yang menunjukkan prestasi tinggi dalam pangkalan data Scopus.
MJM yang diketuai Ketua Editor, Dr Wong Huey Yi atau lebih dikenali sebagai Colleen Wong, menerima pengiktirafan bagi kategori Seni, Kemanusiaan dan Sains Sosial.
Sementara itu, JSML di bawah Ketua Editor, Profesor Madya ChM, Dr Wan Mohd Nuzul Hakimi W Salleh menerima pengiktirafan bagi kategori STEM.
Majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Hotel Le Meridien, Putrajaya itu disempurnakan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr Suriani Abu Bakar berkata, pencapaian tersebut terhasil daripada komitmen ketua editor serta sokongan pengurusan Penerbit UPSI.
“Perancangan strategik Penerbit UPSI yang diatur pada tahun lepas untuk menerima anugerah ini menjadi kenyataan pada 2026,” katanya.
Bagi Colleen, pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat kepada pasukan editorial MJM untuk terus meningkatkan mutu penerbitan, memperluas kerjasama akademik antarabangsa dan memperkukuh kedudukan jurnal berkenaan di peringkat global.
Beliau turut menghargai sokongan sidang editor, Penerbit UPSI serta Fakulti Muzik dan Seni Persembahan dalam memastikan kelancaran penerbitan jurnal berkenaan.
Sementara itu, Dr Wan Mohd Nuzul menyifatkan kejayaan JSML sebagai hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk kepimpinan universiti, fakulti, Penerbit UPSI, sidang editor dan perunding jurnal.
Pengarah Penerbit UPSI, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah berkata, pencapaian itu mengulangi kejayaan universiti dalam MRSA pada 2019 apabila MJM menerima pengiktirafan Jurnal Berpotensi CREME.
Menurutnya, Penerbit UPSI yang menguruskan 32 jurnal universiti itu sentiasa berusaha meningkatkan kualiti penerbitan bagi menghasilkan karya ilmiah yang berimpak tinggi.
Kejayaan dua jurnal itu sekali gus memperlihatkan peranan penerbitan akademik dalam mengangkat hasil penyelidikan universiti, selain membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan kerjasama pada peringkat antarabangsa.