LIMA institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berganding bahu memperkasa kemudahan komuniti, memperkenalkan teknologi pertanian pintar serta merancakkan potensi ekonomi setempat menerusi Program Kampung Angkat MADANI Kampung Pedas 2026 (KAM PEDAS).
Menurut kenyataan Politeknik Port Dickson (PPD), inisiatif yang dilaksanakan di Kampung Pedas Tengah itu memperlihatkan komitmen Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat menerusi pembangunan kemudahan komuniti, aplikasi teknologi serta pemindahan kepakaran dan inovasi TVET.
Kolaborasi itu membabitkan PPD, Politeknik Nilai, Kolej Komuniti Rembau, Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Kolej Komuniti Shah Alam yang menggembleng kepakaran masing-masing bagi memenuhi keperluan serta meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah berkata, pembangunan komuniti perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan menggabungkan penyediaan kemudahan fizikal, perkongsian ilmu, aplikasi teknologi dan pembangunan potensi ekonomi masyarakat setempat.
Menurut beliau, kekuatan ekosistem politeknik dan kolej komuniti terletak pada kepelbagaian bidang kepakaran yang boleh digembleng secara bersama bagi menghasilkan penyelesaian praktikal terhadap keperluan masyarakat.
"TVET bukan sekadar melahirkan graduan berkemahiran untuk memenuhi keperluan industri, tetapi turut berperanan sebagai pemangkin pembangunan masyarakat. Kepakaran, penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan di institusi perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat," katanya.
Dalam aspek pembangunan kemudahan komuniti, PPD melaksanakan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan Masjid Kampung Pedas Tengah merangkumi pembaikan bangunan, bumbung dan ruang dalaman, laluan mesra orang kurang upaya (OKU) serta tempat wuduk.
Penambahbaikan itu turut melibatkan penyediaan kemudahan sokongan seperti perabot, sistem siar raya dan penghawa dingin bagi mewujudkan persekitaran masjid yang lebih selesa, kondusif dan mesra pengguna.
Selain itu, PPD turut menyelenggara gelanggang sepak takraw di Taman Pinggiran Pedas bagi meningkatkan kemudahan sukan komuniti, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dan memperkukuh perpaduan penduduk setempat.
Sementara itu, Politeknik Nilai menyumbangkan kepakaran teknikal menerusi pemasangan, uji lari dan kalibrasi dua set sistem iREMIX (IoT Renewable Energy Mix Fertilizer) yang mengintegrasikan penggunaan tenaga solar dalam sistem pembajaan tanaman.
Sistem berkenaan merupakan hasil penyelidikan yang dibangunkan menerusi peruntukan Geran TVET Applied Research Grant Scheme (T-ARGS).
Dalam usaha memperkenalkan teknologi pertanian pintar pula, Kolej Komuniti Rembau dengan kerjasama Politeknik Nilai melaksanakan Projek Tanaman Fertigasi Pintar di Balai Raya Kampung Pedas Tengah.
Projek itu membabitkan tenaga pengajar, pelajar Sijil Agroteknologi dan penduduk kampung dalam kerja pemasangan sistem fertigasi.
Kolej Komuniti Masjid Tanah turut menyumbangkan kepakaran menerusi kerja pengubahsuaian landskap di masjid dan balai raya Kampung Pedas Tengah bagi mewujudkan persekitaran lebih menarik, teratur dan kondusif untuk kegunaan komuniti.
Dalam pada itu, Kolej Komuniti Shah Alam menyumbangkan kepakaran dalam reka bentuk dalaman bagi mentransformasikan Balai Raya Kampung Pedas Tengah kepada ruang lebih moden, kemas dan kondusif untuk kegunaan serta pelaksanaan pelbagai aktiviti komuniti.
Kolaborasi lima institusi politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) itu membuktikan keupayaan ekosistem TVET mengintegrasikan kepakaran, teknologi dan inovasi bagi menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Pada masa sama, penglibatan pensyarah dan pelajar dalam pelaksanaan projek berkenaan turut membuka ruang kepada pengaplikasian kemahiran dalam situasi sebenar, selain memupuk nilai kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.
JPPKK berharap inisiatif KAM PEDAS dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama berterusan antara institusi POLYCC dengan komuniti setempat, sekali gus memastikan kemudahan dan teknologi yang dibangunkan dapat dimanfaatkan secara optimum serta mampan demi kesejahteraan masyarakat.