Syahmi, Zhi Xuan bukti usaha keras berbaloi di UTeM

- Advertisement / Iklan -
Muhamad Syahmi Mohd Alwi (24 tahun) dan Yap Zhi Xuan (24 tahun) merupakan Penerima Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-22.

MINAT mendalam terhadap bidang kecerdasan buatan (AI) sejak awal pengajian menjadi antara pendorong kejayaan Muhamad Syahmi Mohd Alwi, 24, apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-22 pada Ahad.

Pembangun Perisian Automasi Play Test di sebuah syarikat telekomunikasi ternama negara itu merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) dengan Kepujian yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92 serta tujuh kali menerima Anugerah Dekan.

Selain Syahmi, seorang lagi penerima anugerah berkenaan ialah Yap Zhi Xuan, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian yang mencatatkan PNGK 3.97.

Kedua-dua penerima menerima pingat, sijil anugerah serta wang tunai RM7,500.

- Advertisement / Iklan -

Berkongsi mengenai kejayaan akademik dan kemahirannya dalam bidang sains komputer, Syahmi yang berasal dari Kulai, Johor berkata, beliau sememangnya menanam minat mendalam terhadap bidang kecerdasan buatan sejak awal pengajian.

“Saya meletakkan sepenuh jiwa dan perasaan yang sentiasa teruja untuk meneroka dan mengadaptasi perubahan AI mengikut keperluan semasa dan berdaya maju seiringan dengan apa yang dihasratkan sama seperti situasi saya sudah bekerja kini sebagai Jurutera Uji di syarikat tersebut dengan menerima gaji premium sebanyak RM4,000 sebulan," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Anak bongsu daripada tiga beradik kepada pasangan Normah Mamud, 53, dan Mohd Alwi Mohd Nor, 61, itu turut menyimpan impian untuk membanggakan kedua-dua ibu bapanya, selain membolehkan mereka menunaikan ibadah umrah dan haji secara berulang kali.

Sementara itu, Yap yang berasal dari Beranang, Selangor berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaannya ialah tekad dan keazaman untuk menjadi insan cemerlang dalam segenap aspek kehidupan.

“Selain itu, motivasi peribadi untuk terus belajar bersungguh-sungguh di samping pengurusan masa yang efektif serta tidak suka bertangguh dalam menyempurnakan sesuatu urusan sama ada berkaitan akademik mahupun aktiviti berkaitan kokurikulum,” katanya.

Beliau kini memulakan tugas sebagai Jurutera Mekanikal dan Elektrik di Zeal Perunding Sdn Bhd dengan menerima gaji RM4,000 sebulan.

Yap merupakan anak bongsu daripada dua beradik kepada pasangan Ng Chin Choo, 51, seorang suri rumah, dan Yap Kim Sui, 54, yang bekerja sebagai penyelia binaan.

Syahmi dan Yap merupakan antara 3,578 graduan yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada majlis konvokesyen yang mencatatkan jumlah graduan tertinggi dalam sejarah UTeM.

Majlis Konvokesyen UTeM ke-22 yang berlangsung selama tiga hari bermula 31 Oktober hingga 2 November membabitkan enam sesi itu disempurnakan Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, dengan turut dihadiri Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin.