KPT benarkan PdP dalam talian sempena Deepavali

- Advertisement / Iklan -
Gambar hiasan. - Foto dijana AI

 

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari 5 hingga 13 November ini bersempena dengan sambutan Deepavali pada 8 November.

KPT dalam kenyataan memaklumkan kemudahan itu diberikan kepada pelajar dan tenaga pengajar beragama Hindu di semua universiti awam, politeknik dan kolej komuniti bagi memberikan ruang kepada mereka pulang ke kampung halaman, serta meluangkan masa bersama keluarga.

"Bagaimanapun, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kesesuaian dan keperluan program akademik di institusi masing-masing bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti akademik tidak terjejas," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

- Advertisement / Iklan -

Inisiatif itu mencerminkan keprihatinan KPT terhadap kebajikan warga pendidikan tinggi, di samping meraikan kepelbagaian budaya dan agama yang menjadi asas keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Pihak kementerian turut mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh pelajar, tenaga akademik, warga kementerian serta rakyat Malaysia beragama Hindu.

- Advertisement / Iklan -

"Semoga perayaan Pesta Cahaya ini membawa sinar kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua," menurut KPT. - Bernama