GIC–IPB buka laluan pelajar Malaysia jadi doktor veterinar

- Advertisement / Iklan -
Kerjasama strategik sediakan laluan pengajian lima tahun di Indonesia, GIC tawar biasiswa RM1.2 juta bagi pengambilan Program Asasi 2027

PELUANG melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan veterinar kini mempunyai satu lagi laluan apabila Goon International College (GIC) menjalinkan kerjasama strategik dengan Institut Pertanian Bogor (IPB University), Indonesia.

Kerjasama itu memberi peluang kepada pelajar Malaysia mengikuti Program Asasi GIC sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan Veterinar di Sekolah Perubatan Veterinar dan Sains Bioperubatan IPB University.

Pengarah GIC, P. Prabagaran berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memperluas akses pelajar tempatan kepada pendidikan veterinar, khususnya mereka yang berdepan persaingan mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi tempatan.

“Melalui kerjasama kami dengan IPB, kami mahu menjadikan laluan ini lebih mudah diakses oleh pelajar, manakala biasiswa yang ditawarkan dapat membantu pelajar cemerlang merealisasikan hasrat melanjutkan pengajian dalam bidang ini,” katanya selepas majlis menandatangani kerjasama berkenaan pada Selasa.

- Advertisement / Iklan -

Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan Veterinar di IPB University mengambil masa lima tahun dan dinyatakan setaraf dengan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Bagaimanapun, kelayakan graduan untuk mendaftar dengan Majlis Veterinar Malaysia (MVC) tertakluk pada syarat yang ditetapkan.

Menurut Prabagaran, IPB University dipilih sebagai rakan strategik berdasarkan kecemerlangan akademik, pengiktirafan antarabangsa serta kemudahan latihan klinikal yang disediakan.

- Advertisement / Iklan -

"Sekolah Perubatan Veterinar dan Sains Bioperubatan universiti itu turut berada dalam kelompok 100 terbaik dunia bagi bidang Sains Veterinar menurut QS World University Rankings by Subject.

"Selain pembelajaran akademik, pelajar juga berpeluang memperoleh pengalaman praktikal menerusi Hospital Haiwan Pengajaran IPB University (RSHP), termasuk dalam bidang pembedahan, perubatan dalaman, diagnostik dan penjagaan kesihatan haiwan," katanya.

Menurutnya, bagi menyokong laluan pendidikan itu, GIC menawarkan biasiswa berjumlah RM1.2 juta kepada pelajar Program Asasi yang cemerlang dan memenuhi syarat bagi pengambilan 2027.

Prabagaran berkata, bantuan kewangan itu diharap dapat mengurangkan kekangan kos yang mungkin dihadapi pelajar berpotensi untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau, keperluan terhadap doktor veterinar bukan sahaja melibatkan penjagaan kesihatan haiwan, malah merangkumi sektor penternakan dan keselamatan makanan.

"Kerjasama GIC dan IPB University diharap dapat memperluas pilihan pendidikan kepada pelajar Malaysia, di samping menyumbang kepada usaha memenuhi keperluan tenaga profesional veterinar negara dalam jangka panjang," katanya.