UNIVERSITI perlu dinilai bukan berdasarkan prestasi dalam penarafan akademik global semata-mata, sebaliknya keupayaan menangani cabaran mendesak seperti perubahan iklim dan kesihatan bumi, kata Presiden Sunway University Prof Sibrandes Poppema.
Beliau berkata, pendekatan itu memerlukan anjakan asas ke arah model"universiti generasi kelima yang berteraskan misi" yang meletakkan impak kepada masyarakat sebagai keutamaan, disokong oleh pendidikan dan penyelidikan.
"Secara umumnya, universiti mengatakan 'kami melaksanakan pendidikan, penyelidikan dan memberi impak kepada masyarakat' namun bagi universiti generasi kelima yang berteraskan misi, pendekatannya adalah sebaliknya. Impak kepada masyarakat menjadi keutamaan, manakala pendidikan dan penyelidikan berperanan menyokong misi berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Bernama di luar Persidangan Global Tipping Points 2026, pada Selasa.
Poppema berkata, penumpuan institusi pengajian tinggi terhadap isu sebenar yang dihadapi masyarakat tidak menjejaskan kedudukan akademik, sebaliknya meningkatkan jumlah pemetikan penyelidikan dan pengiktirafan di peringkat global.
"Menariknya, mungkin 10 atau 20 tahun lepas, jika anda melakukan perkara itu, makalah penyelidikan berkenaan tidak akan menerima banyak pemetikan. Kini apabila anda menerbitkan kajian tentang masalah kehidupan sebenar dan cara meningkatkan kualiti hidup, makalah itu menerima lebih banyak pemetikan berbanding kajian lain," katanya.
Beliau berkata, pencapaian cemerlang Sunway University dalam penarafan global turut membuktikan kecemerlangan penyelidikan dan impak kepada masyarakat boleh dicapai secara serentak.
Mengenai persidangan itu, Poppema berkata perbincangan berkaitan perubahan iklim sering tertumpu pada kemusnahan alam sekitar, sedangkan persidangan selama empat hari itu lebih menekankan"titik perubahan positif", iaitu intervensi yang mampu mencetuskan peralihan pantas dan berkekalan ke arah kelestarian.
"Kita sememangnya perlu memastikan kita menggunakan tenaga lestari, tidak lagi melepaskan lebih banyak karbon ke atmosfera serta tidak mencemarkan alam sekitar dalam bentuk lain. Saya fikir itulah sumbangan terbesar yang boleh kita lakukan," katanya.
Poppema berkata tenaga bersih juga penting dalam menangani cabaran lain, termasuk akses kepada air bersih, memandangkan tenaga diperlukan untuk menyahgaram air laut dan merawat air tercemar.
Persidangan berkenaan yang berlangsung dari 12 hingga 15 Okt ini dan merupakan persidangan global pertama seumpamanya yang diadakan di Asia, dianjurkan Sunway Centre for Planetary Health dengan kerjasama Global Systems Institute di University of Exeter serta Potsdam Institute for Climate Impact Research. - Bernama