RM8 bilion TVET, pelaburan besar untuk masa depan anak muda

- Advertisement / Iklan -
Gambar hiasan.

PERUNTUKAN RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merentas kementerian menerusi Belanjawan 2027 diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan satu langkah yang amat progresif.

Pensyarah Kejuruteraan Mekatronik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Yasir Mohd Mustafah berkata, peruntukan tersebut itu, menggabungkan pembangunan kemahiran dengan manfaat sosial secara terus khususnya kepada anak-anak tahfiz dan anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tamat perkhidmatan, dalam usaha merancakkan industri TVET dan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, perhatian kepada kedua-dua golongan itu juga berpotensi memperluas kebolehpasaran tenaga kerja dan meningkatkan mobiliti sosial, sekiranya mampu menggunakan peluang digunakan sebaik mungkin, selepas tamat menghadiri latihan atau kursus dihadiri.

"Pelajar-pelajar tahfiz ini bukan hanya belajar al-Quran, namun akan memberikan opsyen kepada pelajar-pelajar ini untuk menceburkan diri dan menyumbang kepada negara dalam bidang TVET.

- Advertisement / Iklan -

"Anggota ATM juga sama, selepas bersara awal dan kemudian kita dapat lihat mereka pandu teksi atau Grab, jadi dengan adanya tawaran diberikan kepada mereka, dapat mengasah lagi kemahiran dimiliki," katanya.

Peruntukan RM8 bilion itu merangkumi antara lain tawaran kursus pendek kepada anak-anak tahfiz di Kolej Komuniti sebagai laluan kepada pekerjaan, keusahawanan dan pengajian tinggi.

- Advertisement / Iklan -

Anggota lain-lain pangkat ATM yang tamat perkhidmatan, turut dibekalkan dengan latihan kemahiran melalui kerjasama antaranya Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) dan Akademi Laut Malaysia.

Bagaimanapun, Yasir berkata, kerajaan perlu memantau atau memperkenalkan indeks prestasi utama (KPI) kepada pihak terlibat yang diberikan peruntukan tersebut, bagi memastikan ia benar-benar memberikan impak berkesan kepada negara.

"Saya mengharapkan latihan diberikan tidak hanya sekadar untuk mencapai KPI bilangan latihan ditetapkan. Kerajaan perlu merangkakan KPI atas impak seperti penempatan kerja dan sebagainya," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen pada Jumaat, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan TVET rentas kementerian berjumlah RM8 bilion, untuk meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran dalam kalangan anak muda.

Peruntukan tersebut antara lain melibatkan dana kepada Human Resource Development Corporation (HRD Corp) berjumlah RM3 bilion, yang menawarkan tiga juta peluang latihan kemahiran termasuk bagi tujuan pembangunan profesional berterusan dalam kalangan golongan profesional. - Bernama