PERJALANAN selama dua hari menggunakan ambulans dari Arau, Perlis, ke Banting, Selangor, sebelum meneruskan perjalanan ke Kemaman, Terengganu, menjadi pengorbanan sepasang suami isteri demi memenuhi hasrat anak mereka untuk menerima sendiri ijazah di pentas konvokesyen.
Bagi Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy, 23, detik menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti TATI (UC TATI) ke-26 membawa makna tersendiri selepas disahkan menghidap kanser otak tahap empat ketika berada di tahun akhir pengajiannya.
Walaupun memerlukan sokongan oksigen akibat keadaan kesihatannya, Muhammad Afiq berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian), sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Khas Aegrotat pada majlis berkenaan.
Bapanya, Kepten Ts Mohd Hairul Fahmy Yob, yang juga pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), berkata anaknya tidak pernah menunjukkan sikap mudah berputus asa meskipun berdepan keadaan kesihatan yang semakin mencabar.
Katanya, hasrat Muhammad Afiq untuk hadir sendiri ke majlis konvokesyen itu mendorong mereka sekeluarga mencari jalan terbaik bagi membolehkannya menempuh perjalanan jauh dengan selamat.
"Sememangnya untuk hadir ke majlis konvokesyen ini adalah kemahuannya sendiri yang kami tidak mampu untuk menolaknya walaupun kami menyedari ia satu perjalanan jauh. Kami tempuhi perjalanan selama dua hari untuk sampai ke sini kerana keperluan kesihatannya.
"Demi Afiq, kami sanggup mengusahakan segala-galanya malah pernah terfikir untuk mendapatkan penerbangan ihsan bagi membolehkannya hadir ke majlis konvokesyen ini. Namun, atas nasihat doktor, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk menaiki pesawat," katanya.
Akhirnya, keluarga itu memilih untuk meneruskan perjalanan menggunakan ambulans bagi memastikan keperluan kesihatan Muhammad Afiq dapat dipenuhi sepanjang perjalanan dari utara Semenanjung ke Terengganu.
Pada majlis bersejarah itu, Muhammad Afiq menerima sendiri Anugerah Khas Aegrotat dalam keadaan berkerusi roda dengan ditemani kedua-dua ibu bapanya.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Naib Canselor UC TATI, Dato' Ir. Kamaluddin Abd Rashid, bersama Rektor, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid.