PUO perkasa TVET digital bersama Apple

- Advertisement / Iklan -

POLITEKNIK Ungku Omar (PUO) memperkukuh kesiapsiagaan digital warga TVET menerusi Apple Digital Transformation Boot Camp 2026 (ADTB 2026) bertemakan “Empowering Digital Excellence” yang berlangsung baru-baru ini.

Program yang melibatkan 140 peserta terdiri daripada pelajar dan pensyarah itu menghimpunkan warga PUO bersama peserta dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan Politeknik Metro Johor Bahru (PMBJ).

ADTB 2026 merupakan hasil kolaborasi strategik PUO bersama Apple Professional Learning Specialist (APLS), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) serta Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital (BIPD), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Program berkenaan diterajui Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) PUO dengan kerjasama Centre for Digital Learning and Multimedia (CDLM) PUO.

- Advertisement / Iklan -

Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh berkata, kerjasama bersama Apple memberi peluang kepada warga politeknik meneroka Apple Education Ecosystem melalui kursus dan pengalaman pembelajaran yang dikendalikan oleh Apple Specialists.

- Advertisement / Iklan -

“Kerjasama ini membuka ruang kepada pensyarah dan pelajar untuk meneroka kaedah baharu dalam pembelajaran, penghasilan kandungan dan penyelesaian masalah. Apa yang dipelajari perlu diterjemahkan dalam bilik kuliah, makmal dan projek sebenar supaya memberi impak kepada pendidikan TVET,” katanya.

Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sekadar pendedahan kepada teknologi, sebaliknya membina budaya pembelajaran yang menggalakkan kreativiti, pemikiran kritis, komunikasi dan kolaborasi.

Antara komponen utama kolaborasi itu ialah pembangunan Apple Education Classroom di JTMK PUO sebagai ruang pembelajaran dan penerokaan ekosistem Apple dalam konteks pendidikan.

Melalui platform berkenaan, peserta didedahkan kepada penghasilan kandungan, pembelajaran berasaskan projek dan aktiviti kolaboratif yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang pengajian.

Program itu turut membuka ruang kepada pembangunan profesional melalui laluan seperti Apple Teacher dan Apple Tech Leader, selain aspirasi ke arah pengiktirafan Apple Distinguished Educator bagi peserta yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Akademik JPPKK, Dr. Mohd Daud Isa, ketika merasmikan majlis penutupan ADTB 2026 berkata, kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri perlu diterjemahkan kepada perubahan dalam pengalaman pembelajaran.

“Transformasi digital bukan sekadar penggunaan teknologi, tetapi bagaimana teknologi dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan manusia. Pensyarah perlu terus menjadi pembelajar sepanjang hayat, manakala pelajar perlu dibentuk sebagai pencipta dan penyelesai masalah, bukan sekadar pengguna teknologi,” katanya.

Beliau turut berharap peserta dapat menjadi digital champion di institusi masing-masing dengan berkongsi pengetahuan dan amalan yang diperoleh sepanjang program.

Dalam perkembangan berkaitan, PUO bakal menjadi politeknik pertama yang menawarkan Diploma in Artificial Intelligence (DAI) mulai Sesi 1 2027/2028 dengan pengambilan awal 40 pelajar bagi satu kelas.

Program baharu di bawah JTMK PUO itu memberi fokus kepada Artificial Intelligence (AI), Machine Learning, data serta pembangunan penyelesaian berasaskan AI.

Antara komponen dalam silibus DAI ialah elektif AI Solution yang menggunakan pendekatan Design Thinking, membolehkan pelajar melalui proses mengenal pasti masalah sebenar, memahami keperluan pengguna, menjana idea, membangunkan prototaip dan menghasilkan penyelesaian berasaskan AI.

Sehubungan itu, elemen yang diterapkan melalui ADTB 2026 seperti kreativiti digital, penyelesaian masalah dan kolaborasi mempunyai kaitan dengan pendekatan pembelajaran yang bakal diterapkan dalam DAI.

Selain itu, iPad dirancang sebagai salah satu medium sokongan PdP bagi program DAI, selaras dengan usaha PUO menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyokong penerapan teknologi dan pembangunan penyelesaian berasaskan AI.

Ketua Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) PUO, Ts. Ainie berkata, pengalaman melalui ADTB 2026 berpotensi diperluaskan merentas bidang pengajian.

Katanya, kreativiti digital boleh dimanfaatkan dalam bidang kejuruteraan, reka bentuk, perniagaan dan teknologi menerusi penghasilan kandungan, pembentangan interaktif, projek kolaboratif dan penyelesaian masalah.

Majlis penutupan turut menyaksikan sesi pertukaran dokumen kolaborasi antara PUO dan Apple, sekali gus memperkukuh hubungan strategik dalam bidang pendidikan dan pembangunan kompetensi digital.

ADTB 2026 menjadi platform yang menghubungkan pendidikan, kreativiti dan pembangunan kompetensi, sekali gus menyokong usaha PUO memperkasa pendidikan TVET yang responsif terhadap perkembangan teknologi.

Inisiatif itu selari dengan aspirasi PUO sebagai Politeknik APEX dalam melahirkan graduan TVET yang mempunyai kemahiran teknikal, daya kreativiti dan keupayaan membangunkan penyelesaian yang relevan dengan keperluan industri serta masyarakat.