ANUGERAH Kualiti Naib Canselor (AKNC) 2026 menjadi medan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuh kecemerlangan tadbir urus dan kualiti Pusat Tanggungjawab (PTj), selain menterjemahkan hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) supaya institusi pengajian tinggi memperkasa kualiti menerusi perubahan yang berimaginasi tinggi demi pembangunan negara.
Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) UiTM hari ini menganjurkan Pembentangan Akhir AKNC 2026 di Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam.
Mula diperkenalkan sejak 1996, inisiatif kualiti UiTM itu menjadi bukti komitmen universiti terhadap pembudayaan Kualiti, Inovasi dan Impak Nyata, menerusi platform AKNC yang konsisten menggerakkan seluruh warganya di sistem kampus rangkaian berbilang negeri seluruh Malaysia untuk bergerak secara bersatu padu.
Selari dengan tema Hari Inovasi tahun ini, “Impak Daya Cipta”, AKNC 2026 mengiktiraf kecemerlangan organisasi yang diukur melalui pencapaian dan prestasi, selain keupayaan mencipta pembaharuan yang memberi impak bermakna kepada pelanggan, masyarakat dan negara.
Anugerah itu turut memperkukuh peranan UiTM sebagai pemacu utama modal insan tempatan yang berdaya saing, berintegriti dan berasaskan nilai budaya kerja berkualiti tinggi.
Aspirasi berkenaan bertepatan dengan ucapan PMX semasa Himpunan Mesra Alumni UiTM pada 26 September 2026, apabila beliau menyatakan UiTM yang kini dianggap agensi cemerlang perlu melonjak jauh lebih cemerlang sebagai real center of academic excellence menerusi keberanian daya cipta (imaginative leap).
Penolong Canselor InQKA UiTM, Prof. Dr. Haslinda Yusoff berkata, agenda kualiti di UiTM yang diperkenalkan menerusi AKNC sejak 1996 kini beralih daripada kepatuhan prosedur (procedural compliance) semata-mata kepada budaya kecemerlangan berterusan (culture of excellence) yang memberi dampak impak nyata kepada masyarakatpelbagai pihak berkepentingan.
“AKNC 2026 merupakan manifestasi bagaimana penandaarasan kualiti dapat memandu UiTM ke arah pengiktirafan global. Menyahut seruan YAB Perdana Menteri, kualiti di UiTM mesti diterjemahkan melalui daya usaha berani yang mencabar norma lama, demi memastikan setiap warga universiti berupaya memberikan sumbangan paling bernilai kepada negara,” katanya.
Beliau berkata, bagi edisi AKNC 2026, sebanyak 46 PTJ menghantar pelaporan melalui sistem iAKNC yang merangkumi 27 fakulti dan pusat akademik, 13 UiTM Cawangan serta enam Jabatan/Bahagian.
Daripada jumlah itu, 14 PTJ terpilih sebagai finalis peringkat akhir, manakala 18 PTJ berjaya memperoleh markah penilaian melebihi 800 markah, sekali gus menandakan peningkatan mutu pelaporan berasaskan data yang sangat signifikan.
Tiga bidang tumpuan utama yang mencatatkan penyertaan tertinggi tahun ini ialah Pengurusan dan Pembangunan Pelajar membabitkan 10 PTJ, Jaringan Industri dan Keusahawanan (enam PTJ), serta Pengajaran & Pembelajaran (enam PTJ).
Penilaian komprehensif pula merangkumi Penulisan Laporan sebanyak 65 peratus, Pembentangan Akhir (30 peratus) dan Soal Selidik (5 peratus).
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, AKNC 2026 menjadi pemangkin kepada transformasi berimpak tinggi di seluruh cawangan dan fakulti UiTM.
“AKNC 2026 merupakan cerminan iltizam warga UiTM dalam menterjemahkan perubahan yang berani dan berimaginasi tinggi demi memacu kecemerlangan akademik serta kecekapan tadbir urus.
“Menyahut seruan YAB Perdana Menteri, UiTM komited untuk terus melangkah daripada sebuah institusi yang cemerlang kepada ‘real center of academic excellence’ yang berdaya saing di persada antarabangsa,” katanya.
Pengarah Pengurusan Kualiti, Inovasi dan Kecemerlangan Operasi InQKA, Prof. Madya Ts. Dr.-Ing. Shahrul Azam Abdullah @ Ab Aziz, berkata kerangka penilai AKNC 2026 turut ditransformasikan dengan penekanan kepada nilai kelestarian (sustainability) serta kecekapan operasi.
“Sistem jaminan kualiti kini memberi fokus kepada impak sebenar keberhasilan, di mana . Kami memupuk budaya kerja pantas, tangkas, dan inovatif dipupuk di setiap PTJ.
“Seperti yang ditekankan dalam mesej PMX, imaginasi tanpa pelaksanaan yang mantap tidak akan membawa perubahan. Di InQKA, kami menyediakan struktur kecemerlangan operasi agar idea-idea berani universiti dapat direalisasikan secara cekap dan berdisiplin,” katanya.
Pembuktian amalan kecemerlangan operasi dan kepimpinan kualiti itu diperlihatkan menerusi pembentangan akhir 14 PTJ dalam AKNC 2026.
Antaranya, Fakulti Alam Bina (FAB) mengaplikasikan pendekatan Connect the Dots Professionally dalam Jaringan Industri & Keusahawanan, dengan mencatatkan kebolehpasaran graduan 94.2 peratus, melahirkan enam tokoh CEO@Faculty serta menjana konsultansi RM1.53 juta menerusi ekosistem BE_eDay dan Pasar FAB.
UiTM Cawangan Sabah pula mengintegrasikan Model Quintuple Helix 5R menerusi projek Metal Farming (MoA RM2 juta bersama Botanickel France) dan FLP-GAPS 3.0, sekali gus memperkasa sosioekonomi B40 serta memenangi Anugerah France-Malaysia Smart Partnership 2025.
UiTM Cawangan Kedah membudayakan Model PBP (Perkasa Budaya Pacu) dan SmartWrite AI Tools, dengan inisiatif itu memotong menjimatkan masa penulisan sebanyak 87.7 peratus, melonjakkan penerbitan Scopus/WoS/ERA sebanyak 367.2 peratus dan meraih Anugerah 6 Bintang PTJ.
Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) pula memperkasakan kerangka 0,2J & OA2E dalam Pengurusan Kewangan, dengan merekodkan penjimatan RM76 juta, penjanaan hasil dalaman RM43.61 juta dan Sijil Audit Bersih empat tahun berturut-turut.
Fakulti Sains Kesihatan (FSK) menggunakan sistem One Stop Centre (OSC) dan Pusat Rehabilitasi & Perkhidmatan Klinikal (PRPK) sebagai living lab, selain mencapai kebolehpasaran graduan 97.4 peratus, penjanaan RM2.33 juta serta penarafan 6-Bintang bagi program Kejururawatan dan Fisioterapi.
UiTM Cawangan Perak pula membudayakan kerangka MaS IHSAN merentas akademik dan operasi, selain berjaya merintis kolaborasi antarabangsa (IFEX Indonesia), menganjurkan SULAM Antarabangsa serta merekodkan 1,982 usahawan pelajar aktif.
UiTM Cawangan Terengganu menerajui Pengurusan Fasiliti & Teknologi melalui Model Ekosistem Kondusif dengan menggerakkan Kampus Rendah Karbon, memasang 2,486 unit panel solar dan mengitar semula 31.25 tan sisa, sekali gus berada di tangga ke-94 dunia UI GreenMetric 2025.
Fakulti Farmasi (FF) pula memacu penyelidikan menerusi inisiatif RAMP-IT (ProliFic-X & ExceL-X), yang melonjakkan UiTM ke kedudukan Top 250 World University Rankings by Subject (Pharmacy & Pharmacology) serta melahirkan 13 penyelidik World’s Top 2% Scientists.
Jabatan Pembangunan (JP UiTM) pula menerajui digitalisasi fasiliti multi-kampus dengan mengguna pakai NavVis VLX-3 Laser Scanner, BIM dan Dron. JP menjana penjimatan kos elektrik RM2.53 juta di Shah Alam serta mengekalkan persijilan ISO 9001:2015 tanpa sebarang Major Non-Conformance.
AKNC 2026 membuktikan komitmen berterusan UiTM ke arah menjadikan universiti itu sebuah universiti unggul pemacu Bumiputera professional.
Usaha berkenaan selaras dengan agenda transformasi pendidikan tinggi negara bagi memastikan sektor itu kekal relevan, berimpak tinggi dan berprestasi global.